AirAsia jadi syarikat penerbangan pertama perkenalkan sistem Interpol, I-Checkit

Amy Chan
November 8, 2014 07:00 MYT
Pesawat A320 itu akan diterbangkan ke 23 lagi destinasi. - Foto Astro AWANI/Amy Chan
Dalam mencegah berulangnya penyalahgunaan pasport palsu bagi penumpang pesawat, AirAsia Berhad dan Polis Antarabangsa (Interpol) telah memeterai satu perjanjian kerjasama dalam melaksanakan sistem pemeriksaan polis antarabangsa, 'I-Checkit' dalam perhimpunan agung tahunan Interpol yang ke-83 di Monaco baru-baru ini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung Interpol Ronald K. Noble, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pengarah AirAsia Berhad, Datuk Aziz Bakar.
Menurut Aziz, kerjasama itu mampu meningkatkan keselamatan penumpang susulan semakan dokumen yang lebih lancar dan tepat.
Pesawat itu mengambil masa enam hari (130 jam) untuk disiapkan dan akan diterbangkan ke lebih 23 buah negara. Foto Astro AWANI/Amy Chan
Sistem daftar masuk I-Checkit telah sebelum ini telah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes Jun lalu dan membabitkan semua operasi AirAsia di seluruh dunia.
Menurut Noble, setakat ini sejumlah lima juta daripada penumpang yang dipantau, hanya 55 penumpang yang didapati mempunyai keraguan dokumen atau mempunyai laporan polis kerana hilang dokumen perjalanan mereka.
Ahmad Zahid (kiri) bersama-sama panel lain termasuk Noble (ketiga dari kiri) sewaktu perhimpunan yang berlangsung Rabu lalu. - Foto Astro AWANI/Amy Chan
AirAsia juga memberikan sokongan kepada kempen "Together, We Can Turn Back Crime" yang dilancarkan dengan kerjasama bersama Interpol dengan salah sebuah pesawat Airbus A320nya memaparkan slogan "We Can Turn Back Crime" beserta logo Interpol.
Orang ramai juga digalakkan berkongsi gambar pesawat A320 terbabit dengan menggunakan hashtag #turnbackcrime dalam laman sosial Facebook, Instagram ataupun Twitter.
Pesawat A320 itu disiapkan dalam masa enam hari atau 130 jam dan akan diterbangkan ke 23 destinasi.
#AirAsia Berhad #Datuk Aziz Bakar #Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi #I-Checkit #Interpol #Monaco #Setiausaha Agung Interpol Ronald K.Noble
;