AirAsia India lancar penerbangan antarabangsa pada separuh kedua 2018
Bernama
Mac 3, 2017 13:45 MYT
Mac 3, 2017 13:45 MYT
AirAsia India menyasarkan untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa pada separuh kedua 2018 apabila ia dilengkapi sekurang-kurangnya 20 pesawat.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu dengan 49 peratus kepentingannya dimiliki oleh AirAsia Bhd, mempunyai lapan pesawat jenis A320 ketika ini dan akan membeli enam lagi pesawat menjelang Oktober tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India, Amar Abrol berkata menjelang pertengahan 2018, syarikat itu dijangka menambah kekuatan sedia ada menerusi pembelian enam lagi pesawat.
"Malah, satu pasukan projek sudah pun memulakan usaha bagi memastikan kesediaan AirAsia India melancarkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa dijangka bermula pada musim panas depan atau musim luruh," katanya semalam.
Menurut Abrol, pasukan berkenaan akan meneliti laluan antarabangsa membabitkan masa penerbangan kurang daripada empat setengah jam dari India.
"Destinasi pertama berkemungkinan ke Asia Timur," katanya.
Peraturan sedia ada menetapkan mana-mana syarikat penerbangan yang berpengkalan di India perlu memiliki sekurang-kurangnya 20 pesawat sebelum mendapat kelulusan untuk penerbangan ke luar negara.
AirAsia India mengendalikan sejumlah 58 penerbangan harian dari New Delhi dan Bengaluru dan perkhidmatannya merangkumi 13 lapangan terbang di negara itu.
Ia turut melancarkan penerbangan ke Srinagar di Kashmir dan Bagdogra di Benggala Barat, baru-baru ini.
-- BERNAMA