AirAsia diiktiraf 'Syarikat Penerbangan Terbaik' di Anugerah Pelancongan Sabah
Malik Ridhwan
November 23, 2015 22:07 MYT
November 23, 2015 22:07 MYT
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia diiktiraf sebagai ‘Syarikat Penerbangan Terbaik’ dan menerima ‘Anugerah Khas Menteri’ di Anugerah Pelancongan Sabah 2015, baru-baru ini.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar daripada Menteri Pelancongan Budaya dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Kategori ‘Syarikat Penerbangan Terbaik’ mengiktiraf syarikat penerbangan yang menyumbang terhadap industri pelancongan Sabah dari segi jaringan perhubungan dan membawa jumlah pelancong tertinggi ke Sabah sepanjang jumlah dua tahun lepas.
‘Anugerah Khas Menteri’ diberikan kepada AirAsia atas langkah berani syarikat penerbangan tersebut meningkatkan jaringan perhubungan ke Sabah dengan penerbangan antarabangsa dan domestik dengan 23 destinasi setakat ini.
Ini sekaligus memaksimakan kedudukan geografi Sabah yang membolehkan para pelancong meneroka tempat-tempat menarik bertaraf dunia selain mencari peluang perniagaan di negeri tersebut.
Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (tiga dari kiri) bersama-sama Aireen Omar (empat dari kiri) sewaktu majlis Anugerah Pelancongan Sabah 2015. - Gambar AirAsia
Dalam satu kenyataan Isnin, Aireen berterima kasih kepada Badan Pelancongan Sabah kerana mengiktiraf kerja keras dan sumbangan syarikatnya terhadap negeri Sabah dengan dua anugerah berprestij ini.
“Kami telah melabur atas pembangunan Sabah yang menjadi hab utama AirAsia dan kami berbesar hati usaha kami diiktiraf dengan jumlah yang semakin meningkat,”
“Kami mempunyai rancangan yang besar buat Sabah dan kami ingin melihat jumlah penumpang ke Sabah meningkat dari 3 juta setahun ke sekurang-kurannya 12 juta setahun,” katanya.
Tambah Aireen, tidak mustahil untuk syarikatnya capai jumlah ini dengan adanya terminal tambang rendah di Kota Kinabalu.
“Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi hab utama di rantau ini dan kami ingin menjadikan ini satu realiti,” katanya.
AirAsia telah membawa lebih 8.4 juta penumpang ke Kota Kinabalu dan buat masa ini mempunyai 698 penerbangan mingguan ke dan dari Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah.
Syarikat penerbangan ini juga telah menyaksikan jumlah penumpang yang meningkat dari rantau Asia dan Australia yang ke Kota Kinabalu dengan perkhidmatan AirAsia Fly-Thru.
Bangkok, Beijing, Shanghai dan Perth adalah antara bandar utama dengan jumlah pelancong yang berhubung ke Sabah sepanjang tahun lepas, dan AirAsia buat masa ini mempunyai 24 laluan Fly-Thru ke Kota Kinabalu, memberikan akses mudah bagi para pelancong di rantau ini ke negeri Sabah.