AirAsia ceburi bidang perniagaan pertanian menerusi platform OurFarm
Faris Danial Razi
Jun 15, 2020 20:20 MYT
Jun 15, 2020 20:20 MYT
Syarikat tambang rendah AirAsia, mula menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian dengan menghubungkan para petani terus kepada perniagaan menerusi platform OurFarm.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, platform baharu itu akan membolehkan perniagaan kecil dengan mengurangkan kos perolehan hasil segar kerana boleh berhubung terus dengan pengeluar pertanian.
“Platform baharu ini akan membantu banyak perniagaan kecil dengan mengurangkan kos perolehan hasil segar hingga 25 peratus.
"Mereka boleh berhubung terus dengan pengeluar pertanian. OurFarm akan membantu meningkatkan margin keuntungan pengeluar pertanian dengan menghapuskan kos orang tengah.
"Platform ini menyediakan sistem pengurusan rantaian bekalan yang lebih cekap yang menyokong agenda keselamatan makanan negara," jelasnya ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Ourfarm di Jabatan Pertanian Serdang pada Isnin.
OurFarm ditubuhkan dengan kerjasama strategik kementerian pertanian dan industri makanan dan akan menyokong lebih daripada 1,000 orang petani kontrak kerajaan serta pemilik ladang swasta.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kementerian telah secara proaktif berhubung dengan pemain industri terutama dalam membantu memadankan perniagaan dengan platform e-dagang sama ada perniagaan-ke-pengguna (B2C) dan perniagaan-ke-perniagaan (B2B)
“Kerjasama strategik antara MOA dan OurFarm ini akan mewujudkan ekosistem baharu yang dapat membantu perniagaan berasaskan pertanian berkembang dengan lebih luas, sambil memberi pengguna nilai yang lebih baik untuk mereka.
“Kami memuji Kumpulan AirAsia kerana memperkenalkan jenama dan platform baharu seperti OurFarm dan berharap ia dapat menyumbang ke arah ketersediaan, kebolehcapaian, kemampuan dan kestabilan sektor berasaskan pertanian di Malaysia,” jelas beliau.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif OurFarm, Lalitha Sinanaser.
Platform itu tidak mengenakan sebarang kos untuk mendaftar, dan menawarkan peluang kepada para petani menerima latihan dalam mendigitalkan perniagaan dengan kursus e-dagang dari Redbeat Academy.
OurFarm juga menyediakan faedah lain, termasuk syarat kredit untuk menyokong pembeli perniagaan dan mencegah pembaziran kerana pembeli dapat memesan produk mengikut keperluan melalui laman webnya.
Buat masa ini, OurFarm meliputi kawasan Lembah Klang, dan mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh negara dalam masa terdekat, termasuk potensi untuk membangunkan kemampuan eksport/import dan pengembangan ke rantau ini dalam jangka panjang.
Untuk mendaftar, perniagaan yang berminat boleh melayari laman web OurFarmdi www.ourfarm.asia.