AirAsia, Big Data jalin usaha sama manfaat pangkalan data pelanggan

Astro Awani
Julai 30, 2016 08:40 MYT
TAN SRI TONY FERNANDES: Kami gembira dapat bekerjasama dengan Bd4h untuk memanfaatkan nilai pangkalan data pelanggan kami memandangkan AirAsia kini lebih hampir untuk menjadi syarikat digital. -Gambar fail
AirAsia Bhd melalui unit sains datanya MadCience Consulting Sdn Bhd memeterai perjanjian dengan Big Data For Humans Ltd (Bd4h) untuk melakar usaha sama analisis data di Asia Pasifik.
Menurut kenyataan AirAsia pada Jumaat, usaha sama tersebut melibatkan pembangunan perisian sebagai perniagaan perkhidmatan di rantau itu dengan pelanggan pertamanya adalah AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata data kini menjadi keutamaan.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Bd4h untuk memanfaatkan nilai pangkalan data pelanggan kami memandangkan AirAsia kini lebih hampir untuk menjadi syarikat digital," katanya dalam kenyataan itu.
Bagi tempoh 15 tahun pertama, AirAsia merupakan syarikat pemasaran dan penjenamaan selain membangunkan jenama sangat bernilai serta celik media sosial, katanya.
"Saya teruja dengan peluang yang ditawarkan oleh analisis data untuk mengembangkan perniagaan AirAsia, terutama dalam (perniagaan) sampingan," kata beliau.
Usaha sama berkenaan akan dilaksanakan melalui Big Data For Humans APAC Ltd (Bd4h APAC), yang dijangka memulakan operasi pada suku keempat tahun ini.
Bd4h dan Bd4h APAC diperbadankan di Edinburgh, Scotland.
Platform sains data Bd4h akan dapat membuat jangkaan prospek dan menghasilkan pelan tindakan mengikut masa sebenar untuk memberi tawaran terbaik kepada pelanggan AirAsia berdasarkan keutamaan mereka di semua saluran.
MadCience Consulting turut melanggan satu juta nota pinjaman boleh ubah tidak bercagar diterbitkan oleh Bd4h bagi 1 juta, daripada jumlah itu, 500,000 akan digunakan untuk membiayai usaha sama tersebut.
Pada penutup dagangan Bursa Malaysia hari ini, saham AirAsia meningkat empat sen kepada RM2.93 dengan 14.92 juta saham bertukar tangan.
#AirAsia #analisis data #MadCience Consulting Sdn Bhd #Tony Fernandes
;