AirAsia beli pesawat daripada Caterhamjet bernilai AS$10 juta
Bernama
Jun 22, 2016 08:16 MYT
Jun 22, 2016 08:16 MYT
AirAsia Bhd pada Selasa memeterai perjanjian dengan Caterhamjet Global Ltd (CJG) untuk membeli sebuah pesawat Bombardier BD-700-1A10 Global Express 9M-CJG bernilai AS$10 juta.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata pembelian itu akan dijelaskan secara tunai daripada dana dalaman syarikat.
Pembayaran akan dibuat dalam dua bahagian, iaitu deposit berjumlah AS$1.5 juta apabila perjanjian ditandatangani dan jumlah selebihnya apabila pesawat itu diserahkan.
AirAsia berkata membeli Global Express daripada CJG akan memanfaatkan syarikat penerbangan itu kerana Pengerusi Eksekutifnya (EC), Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Tan Sri Tony Fernandes telah menggunakan pesawat berkenaan sejak 2012.
Apabila CJG merancang menjual pesawat itu, ini bermakna Tony dan Kamarudin tidak boleh lagi memanfaatkan kemudahan dan kecekapan yang ditawarkan Global Express.
Menurutnya, ini bermakna mereka terpaksa bergantung kepada penerbangan komersial yang mungkin jarang atau tidak sesuai pada masanya apabila membuat perjalanan ketika menjalankan tugas.
AirAsia berkata, ini akan menyebabkan kerugian produktiviti berikutan ketidakcekapan masa menunggu, terutama dengan jumlah dan frekuensi tinggi perjalanan yang dibuat kedua-dua tokoh berkenaan.
Ia menambah, melalui penerbangan komersial juga bermakna EC dan GCEO tidak boleh mengadakan perbincangan perniagaan atau mesyuarat dengan pengurusan kanan sebagaimana dilakukan dalam Global Express sekarang.
Selain itu, katanya, perjanjian komersial sedia ada juga tidak distruktur secara cekap kerana AirAsia perlu membayar gaji kakitangan ditugas mengendali Global Express, dengan itu menanggung cukai barang dan perkhidmatan, katanya.
Menurut AirAsia, dengan membeli Global Express dan membawa kakitangan penerbangan dan penyelenggaraan ke dalam AirAsia akan membolehkan syarikat menjimatkan kos tambahan dan menggunakan kakitangan dengan lebih baik.
Tambahan pula, harga jet persendirian di Asia telah merosot sejak dua tahun lepas berikutan kelembapan ekonomi serantau yang menjadikan Global Express lebih murah untuk dibeli, katanya.