AirAsia ambil alih laluan KK-Sibu dan KK-Bintulu mulai Januari 2019
Malik Ridhwan, Afiq Ariffin
November 21, 2018 18:54 MYT
November 21, 2018 18:54 MYT
Kementerian Pengangkutan mengumumkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah, AirAsia akan mengambil alih laluan Kota Kinabalu (KK)-Sibu dan KK-Bintulu dari MASwings Sdn Bhd bermula Januari 2019.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, selepas mendapat kelulusan daripada kabinet minggu lalu, kontrak Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) sedia ada bersama MASwings yang sepatutnya berakhir pada tahun 2024 akan ditamatkan.
Ini sekali gus dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan sehingga RM20 juta bagi kedua-dua laluan dari tahun 2020 dan tahun seterusnya.
“Laluan ini akan jadi penerbangan komersial. Jadi tiada subsidi daripada kerajaan untuk AirAsia mengendalikan penerbangan tersebut kerana mereka telahpun membuat permohonan untuk laluan KK-Sibu dan KK-Bintulu.
“Tetapi di bawah rangka kerja RAS, kedua-dua laluan ini dianggap laluan luar bandar dan ini bermakna kerajaan perlu memberi subsidi untuk penerbangan ini yang dikenalikan oleh MASwings.
"Oleh itu kita telah keluarkan laluan ini daripada rangka kerja RAS dan membenarkan syarikat penerbangan komersial untuk kendalikannya,” kata Loke yang ditemui di majlis pengumuman penambahan penerbangan lewat malam sempena perayaan Tahun Baru Cina AirAsia di sini pada Rabu.
Tambah Loke, beliau berharap pengkomersialan laluan ini dapat mengurangkan subsidi kerajaan dan pada masa yang sama akan mengurangkan tambang penerbangan serta dapat meningkatkan jumlah kapasiti ke dua sektor laluan berkenaan.
Laluan KK-Sibu dan KK-Bintulu antara 30 laluan RAS di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings dan ia disubsidi oleh kerajaan kerana dianggap tidak berdaya maju dari segi komersial.
Loke juga berkata kerajaan memperuntukkan RM230 juta dalam Belanjawan 2019 bagi subsidi RAS dan ia termasuk dengan pampasan kepada MASwings berbanding bil subsidi RM190 juta tahun ini.
Pengkomersialan kedua-dua laluan itu juga akan membantu kerajaan mengurangkan secara berperingkat harga siling subsidi bermula dari 2020 dan seterusnya.
Sebelum ini kerajaan telah mengkomersialkan enam laluan RAS, iaitu KK-Tawau, KK-Sandakan, KK-Miri, Kuching-Sibu, Kuching-Bintulu, dan Kuching-Miri.
“Sekiranya MASwings ingin meneruskan penerbangan ke laluan ini, mereka boleh meneruskan seperti biasa tetapi mereka tidak akan diberi subsidi seperti sebelum ini.
“AirAsia dan MASwings boleh bersaing secara baik di kedua-dua laluan berkenaan,” tambah Loke.
Perjanjian Operasi baharu antara kerajaan dan AirAsia akan ditandatangani hujung tahun ini berserta dengan jumlah bayaran pampasan kepada MASwings.
AirAsia akan menandatangani kontrak untuk mengendalikan laluan KK-Sibu dan KK-Bintulu selama enam tahun berakhir pada 2024.
Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat itu telah menunggu selama sembilan tahun untuk mengendalikan laluan tersebut.
Katanya selain menghubungkan antara bandar Sibu dan Bintulu, beliau berharap laluan ini akan menjadi pemangkin kepada usahawan tempatan untuk menjadi lebih berdaya saing dalam sektor peruncitan khususnya.
“Sebahagian daripada mengendalikan penerbangan ini juga adalah untuk memberi peluang kepada usahawan PKS dan peniaga untuk meneroka sektor e-logistik untuk menjual barangan mereka.
“Setiap kali kami membuka laluan, kami sedar bahawa usahawan PKS dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk membawa perniagaan mereka keluar dari bandar kecil ini ke bandar-bandar besar. Malah dengan perhubungan ini, mereka dapat berniaga dari rumah mereka sendiri,” kata Fernandes yang turut teruja dengan pengumuman dibuat oleh Loke.
Sementara itu, AirAsia akan menambah penerbangan lewat malam bersempena perayaan Tahun Baru Cina berikutan permintaan tinggi di laluan popular iaitu Penang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri.
Syarikat penerbangan itu menawarkan tambang rendah tetap RM99 sehala dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, RM149 dari Kuala Lumpur ke Miri, Sibu dan Kuching, dan RM199 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bagi penerbangan antara 31 Januari hingga 12 Februari 2019.
Fernandes berkata, penerbangan tambahan ini akan menambah 43,500 tempat duduk berbanding kapasiti 22,000 sedia ada.
“Untuk tempoh Tahun Baru Cina akan datang, kami akan sediakan 65,000 tempat duduk. Jadi terdapat banyak kapasiti untuk menurunkan tambang.
“Salah satu cara untuk menurunkan tambang adalah dengan mengadakan lebih banyak penerbangan. Itulah yang kami cuba lakukan, kami terus memohon kepada MAVCOM untuk memberi lebih banyak penerbangan, bermakna kami dapat mengurangkan tambang,” katanya.
Loke turut menyambut baik usaha AirAsia dengan penerbangan tambahan lewat malam ini kerana ia dilihat akan keselesaan dan kelegaan kepada meraka yang ingin pulang ke kampung halaman pada musim Tahun Baru Cina nanti.
Pelanggan yang ingin membuat perjalanan di musim perayaan boleh membuat tempahan penerbangan bermula hari ini di laman web AirAsia.
#AirAsia
#Anthony Loke
#Bintulu
#Kota Kinabalu
#Kuching
#MASWings
#Miri
#penerbangan
#RAS
#Sibu
#Tahun Baru Cina
#Tony Fernandes