Air Asia tingkat kekerapan tambahan
Astro Awani
Januari 9, 2013 12:20 MYT
Januari 9, 2013 12:20 MYT
Air Asia memperkenalkan penerbangan tambahan ke enam destinasi domestik dan satu laluan antarabangsa sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan syarikat untuk tahun ini.
Menurut syarikat penerbangan tambang murah itu, kekerapan tambahan akan dilaksanakan di empat hab terpilih di Malaysia.
Kekerapan tambahan dari hab Kuala Lumpur ialah ke Bangkok, Kota Kinabalu, Sibu, Kuching dan Johor Baharu.
Sementara hab Johor Baharu akan menyaksikan kekerapan tambahan ke Kuching, Sibu, Miri dan Pulau Pinang.
Terdapat juga kekerapan tambahan dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu dan Kuching serta dari Kota Kinabalu ke Kuching.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Komersil Airasia, Jasmine Lee berkata kekerapan baru itu akan menyediakan pemasaan penerbangan yang lebih selesa untuk penumpang syarikat penerbangan itu.
Tarikh-tarikh pelaksanaan untuk kekerapan tambahan dan laluan baru ialah antara 1 Februari hingga 4 Mac 2013.