Air Asia catat pertumbuhan 20 peratus setahun
Bernama
Januari 21, 2013 18:39 MYT
Januari 21, 2013 18:39 MYT
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd kini berusaha memperoleh 17 hingga 20 peratus pertumbuhan kapasiti setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Aireen Omar berkata sasaran pertumbuhan itu seiring dengan pengembangan serantau kumpulan yang akan menyaksikan 33 pesawat baharu diserahkan tahun ini.
"Dengan pertumbuhan berterusan di rantau ini, kami berharap angka purata pekerja akan meningkat juga bagi memenuhi permintaan yang meningkat untuk perjalanan udara kos rendah," kata beliau kepada pemberita selepas mewakili AirAsia pada majlis pemeteraian perjanjian perkongsian dengan Manipal International University (MIU), entiti Manipal Education Malaysia, untuk pembangunan modal insan serta meningkatkan kecekapan dan bakat manusia di Malaysia.
Aireen berkata kerjasama tersebut akan membolehkan kumpulan mendapatkan modal insan yang stabil dan berkualiti.
"Bagi seluruh rantau, kami mempunyai lebih 10,000 tenaga kerja dan dengan pengembangan kumpulan, kami mahu modal insan daripada kepakaran teknikal yang tinggi untuk berkhidmat sebagai petugas perkhidmatan di darat bagi memenuhi permintaan dalam sektor penerbangan yang berkembang," katanya.
Memandangkan syarikat penerbangan menyaksikan pertumbuhan yang pesat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat rantau, keperluan bagi siswazah sedia untuk industri akan bertambah bagi kumpulan untuk memenuhi kekurangan dan memperkukuh rancangan pengembangan AirAsia, kata Aireen.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Manipal Education Malaysia Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata MIU komited untuk mengeluarkan bakat yang sedia untuk industri.
"Kami meninjau untuk membina saluran untuk bakal pekerja bagi AirAsia dan kami akan bekerja dengan AirAsia dalam menyediakan sukatan pengajian yang berkenaan dengan kecekapan dan kemahiran yang diperlukan dalam budaya organisasi AirAsia," katanya.
Dengan jumlah pelaburan lebih RM650 juta, fasa pertama kampus seluas lebih 56 hektar di Nilai kini dibuka, katanya.
MIU menawarkan program ijazah Sarjana Muda dalam kejuruteraan, perniagaan dan bioteknologi. MIU memperoleh lesen universiti pada 2010, katanya.