Ahmad Husni: Draf Belanjawan 2014 dalam proses

Bernama
Ogos 29, 2013 09:05 MYT
Kementerian Kewangan kini dalam proses menyiapkan draf Belanjawan 2014 selepas menerima kira-kira 100 memorandum daripada pelbagai pihak untuk dipertimbangkan, sepanjang Majlis Konsultasi Belanjawan 2014 dijalankan sejak Jun lepas.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata sejak Jun lepas, majlis tersebut diadakan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah, dan selepas majlis ketiga di Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Ogos, proses menyiapkan draf Belanjawan 2014 kini memasuki fasa akhir.
"Draf berkenaan dijangka siap pada pertengahan September untuk diteliti dan dimuktamadkan sebelum dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober depan.
"Daripada 15 kumpulan fokus yang terlibat dalam Belanjawan 2014, ada beberapa kumpulan yang belum selesai. Antaranya berkenaan Indeks Kesejahteraan, dan perkara ini sedang kita laksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2013 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) Sarawak, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Md. Yahya Basimin, Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak Datuk Jabidah Monseri.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Ahmad Husni berkata perkara tersebut tidak semestinya diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2014.
"Kita masih mengkaji kesannya terhadap ekonomi. Kita mahu pastikan kalau berlaku kenaikan harga, berapa tinggi kenaikan tersebut dan kesannya ke atas rakyat, kerana pada akhirnya, keutamaan adalah untuk kesejahteraan rakyat," katanya.
#Ahmad Husni Hanadzlah #Belanjawan 2014 #majlis konsultasi belanjawan 2014