Agrobank tawar pakej menarik, serlah potensi usahawan muda di MAHA 2024

Amzar Alif
September 19, 2024 20:36 MYT
Agrobank turut memperkenalkan kempen Menang Moto Setiap Hari sepanjang MAHA 2024, serta kempen Mega Million yang menawarkan hadiah kereta Tesla kepada pemenang bertuah. - Gambar Agrobank
KUALA LUMPUR : Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 dijangka menjadi lebih meriah dengan penyertaan aktif Agrobank sebagai salah satu penaja utama.
Melalui pelbagai inisiatif menarik, Agrobank terus komited untuk menyokong sektor pertanian negara, terutamanya dengan menyediakan pelbagai produk dan program yang disasarkan kepada pengusaha pertanian serta usahawan muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (DFI) memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui akses pembiayaan yang holistik.
“Kami mempunyai banyak pakej-pakej pembiayaan untuk usahawan-usahawan baru dan usahawan-usahawan lama di dalam bidang pertanian, primary agriculture dan juga produk-produk hiliran berasaskan pertanian dan agromakanan.
“Antaranya termasuk micro financing, SME financing dan corporate financing. Kami juga ada memberi tunjuk ajar dan latihan pembangunan perniagaan pemasaran serta pengurusan perniagaan,” ujarnya.
Mengiktiraf peranan penting golongan muda dalam sektor ini, Agrobank juga memperkenalkan segmen Agro Youth di MAHA 2024 yang menampilkan perbincangan tentang topik terkini dalam industri pertanian dan keterjaminan makanan.
“Pada MAHA 2024 ini kami menampilkan beberapa kelainan seperti kami mempunyai sesi Agro Youth di mana kami menampilkan key opinion leaders, beberapa usahawan-usahawan terkenal yang akan memberi tunjuk ajar, panduan dan berkongsi pengalaman mereka dalam bidang pertanian agromakanan ini.
“Oleh itu, kami berharap sesi ini dapat menyuntik semangat kepada usahawan-usahawan baharu dan usahawan-usahawan yang mahu berkembang dalam bidang ini,” tambahnya.
Untuk menarik minat golongan kanak-kanak dan keluarga, Agrobank turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti pertandingan larian Colors of Agrirun sebagai sebahagian daripada program Agrofit dan aktiviti seperti permainan dam ular, Rubik Cube, serta pertandingan kuiz.
Selain itu, Agrobank turut memperkenalkan kempen Menang Moto Setiap Hari sepanjang MAHA 2024, serta kempen Mega Million yang menawarkan hadiah kereta Tesla kepada pemenang bertuah.
Dengan pelbagai aktiviti menarik dan tawaran eksklusif, Agrobank yakin MAHA 2024 akan menjadi platform penting untuk memupuk minat dan kesedaran tentang pentingnya sektor pertanian dalam memastikan keterjaminan makanan negara.
#MAHA 2024 #AgroBank #Pembiayaan perniagaan #Agro Youth #Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin
;