Agrobank sumbang RM50,000 kepada komuniti Pasir Puteh

Ehsan A Marisah
Februari 16, 2022 14:42 MYT
Sebahagian daripada pelajar yang menerima sumbangan keperluan barangan sekolah pada program Agrobank dan Komuniti di Pasir Puteh, Kelantan. - Agrobank
PASIR PUTEH: Agrobank menerusi program Agrobank dan Komuniti menyalurkan sumbangan RM50,000 kepada komuniti di Pasir Puteh, Kelantan, dan menyampaikan surat tawaran pembiayaan kepada lima pelanggan Agrobank bernilai RM1.04 juta.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, progam tersebut merupakan kesinambungan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank berkenaan untuk menyantuni komuniti setempat di lokasi operasinya dan membantu golongan memerlukan.
Ia juga sebagai inisiatif membentuk sinergi positif antara komuniti di Kelantan dan bank dalam meningkatkan pembangunan sektor pertanian dan agromakanan negara.
“Agrobank bukan sahaja mementingkan akses perbankan yang holistik kepada semua malah kami juga amat prihatin terhadap golongan yang memerlukan.
“Justeru, sebagai sebuah organisasi korporat yang prihatin dan dekat di hati komuniti setempat, Agrobank berasa terpanggil untuk menyumbang kembali kepada komuniti yang telah banyak mendukung Agrobank sejak penubuhannya pada 1969,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Program tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah menambah, inisiatif itu turut menyaksikan dua buah masjid di jajahan itu menerima sumbangan zakat RM10,000 manakala 230 orang pelajar daripada lima sekolah menerima sumbangan berupa keperluan sekolah dengan nilai keseluruhan RM40,000.
Katanya lagi, setakat Disember 2021, Agrobank mencatatkan jumlah baki pembiayaan di negeri Kelantan sebanyak RM742.15 juta dengan pertumbuhan sebanyak sembilan peratus bersamaan dengan RM61.09 juta berbanding tahun 2020.
“Ini menunjukkan bahawa kegiatan pertanian di Kelantan ini sangat aktif dan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kelantan merupakan antara lokasi yang mempunyai tanah serta kekayaan hasil bumi yang subur, prospek perniagaan berasaskan pertanian sangat baik.
“Selain penanaman padi, aktiviti perniagaan hiliran seperti pemprosesan makanan dan perikanan turut menjadi pilihan usahawan di sini,” katanya.
Terdahulu, program Agrobank dan Komuniti turut menerima kunjungan sekurang-kurangnya 500 penduduk di sekitar Pasir Puteh yang turut menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung.
#AgroBank #Pasir Puteh #sumbangan #tanggungjawab sosial korporat
;