Agrobank sambut baik usaha kerajaan memperkasakan wanita
Kenyataan Media
Mac 7, 2018 07:00 MYT
Mac 7, 2018 07:00 MYT
Agrobank menyambut baik inisiatif Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) untuk memperkasakan wanita bagi tahun 2018, sejajar dengan agenda kerajaan yang telah diumumkan pada Januari lalu iaitu 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wanita.
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian & Industri Asas Tani baru-baru ini telah mengumumkan bahawa “Segalanya Wanita” akan menjadi fokus dan konsep bagi Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018).
MAHA 2018 akan mengetengahkan peranan wanita dalam sektor pertanian sebagai objektif utama pameran tersebut.
“Wanita memainkan peranan penting di dalam bidang pertanian bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
"Dianggarkan seramai 70 peratus daripada pekerja di dalam bidang pertanian, 80 peratus pengeluar makanan dan 10 peratus di dalam bidang pemprosesan makanan asas adalah wanita dan mereka juga menjalankan 60 peratus sehingga ke 90 peratus pemasaran di luar bandar yang membentuk lebih daripada dua pertiga tenaga kerja dalam pengeluaran pertanian (FAO, 1985)," kata Masaat Awadz, yang memangku tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank
Dengan ini, Agrobank yakin inisiatif yang dilaksanakan MOA dalam memperkasakan wanita terutamanya di dalam sektor pertanian adalah tepat pada masanya.
Agrobank menyambut baik inisiatif ini kerana ia penting untuk mengetengahkan wanita di dalam bidang pertanian dan industri asas tani sekaligus membantu mereka untuk masa depan yang lebih baik.
Agrobank sentiasa menyokong usaha memperkasakan wanita terutamanya di dalam industri pertanian.
Agrobank baru-baru ini juga telah mendapatkan slot istimewa di satu persidangan kepimpinan pemikiran (thought leadership), ROSE 2018 anjuran Astro AWANI yang memfokuskan tentang wanita dan pertanian.
Selain daripada itu, semenjak tahun 2016, Agrobank turut meraikan kejayaan wanita menerusi salah satu kategorinya di ‘Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA)’ iaitu Anugerah Agropreneur Wanita.
“Pada tahun 2017, Agrobank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM676 juta atau 23.4 peratus dari keseluruhan pembiayaan yang diluluskan yang memanfaatkan 11,399 pelanggan wanita. Pada tahun ini, kami ingin menyeru penglibatan usahawan wanita dalam bidang pertanian dengan lebih lagi.
"Di Agrobank, kami bukan sahaja menyediakan pembiayaan kepada para usahawan, malah kami juga turut memberikan tunjuk ajar kepada mereka melalui pelbagai program pembelajaran bagi memastikan para usahawan tani terus berjaya di dalam bidang yang diusahakan.
"Kami percaya bahawa, suara wanita kini didengari di seluruh dunia dan ini adalah masanya untuk menyokong usaha memperkasakan wanita melalui pelbagai inisiatif dalam meraikkan kejayaan, peluang serta potensi mereka,” tambah beliau.
Pada tahun lalu, Agrobank telah melancarkan program Agro Teras, iaitu satu program pembiayaan mikro bagi membantu usahawan daripada golong miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) yang terlibat di dalam bisnes pertanian dan industri asas tani.
Program ini menyediakan dana secara berperingkat dengan menggunakan model pembentukkan kumpulan (peer-model group) dengan pembiayaan minimum berjumlah RM1,000 yang akan ditingkatkan dari semasa ke semasa sehingga RM30,000 bergantung kepada kemampuan dan rekod peserta.
Masaat berkata, “Setakat Februari 2018, seramai 1,181 agropreneur telah didaftarkan di bawah program ini di mana 95 peratus daripadanya adalah agropreneur wanita daripada kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.
"Melalui program pembiayaan khusus seperti ini, Agrobank bukan sahaja membantu usahawan baru mikro, tetapi juga menyokong penglibatan wanita di dalam bidang pertaniaan dan industri asas tani."