Agrobank rekod RM9.5 bilion pembiayaan, pertumbuhan 8.4 peratus
Bernama
Disember 30, 2017 23:20 MYT
Disember 30, 2017 23:20 MYT
Bank Pertanian (M) Bhd (Agrobank) merekodkan nilai pembiayaan berjumlah kira-kira RM9.5 bilion, dengan peningkatan pertumbuhan sebanyak 8.4 peratus setakat November 2017.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Masaat Awadz dalam satu kenyataan hari ini berkata peningkatan tersebut seiring dengan peningkatan pasaran dan permintaan untuk pengeluaran pertanian dan industri asas tani.
"Agrobank juga masih kekal menerajui pembiayaan bagi sektor agromakanan dengan catatan pertumbuhan sehingga 12.9 peratus dengan nilai keseluruhan RM3.5 bilion berbanding RM3.1 bilion pada tahun lalu.
"Peningkatan memberangsangkan ini seiring dengan komitmen Agrobank yang sentiasa proaktif dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan terutamanya komuniti agro yang majoritinya berasaskan makanan," katanya.
Masaat berkata, Agrobank yakin prospek dalam bidang pertanian bagi tahun 2018 akan kekal optimis berdasarkan permintaan dan potensi pasaran.
-- BERNAMA