Agrobank dan Takaful Malaysia memeterai perkongsian strategik bancatakaful

Fahmi Izuddin
Disember 9, 2022 15:00 MYT
Usahasama ini bertujuan memberi perlindungan dan keselamatan kewangan sewajarnya kepada komuniti pertanian negara. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) memeterai perjanjian strategik bancatakaful bersama Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan anak syarikat milik penuhnya Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad.
Perkongsian strategik selama lima tahun ini bertujuan untuk memberi akses kepada kedua belah pihak bagi memberi fokus kepada pembangunan dan perlindungan kumpulan sasar sektor pertanian negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Nor Azman Zainal berkata kerjasama ini bakal menyaksikan keperluan perlindungan dan keselamatan kewangan pelanggan Agrobank tercapai.
“Perkongsian strategik ini akan memberi akses kepada pelanggan Agrobank keselamatan kewangan yang lebih baik melalui produk takaful am dan keluarga berkaitan kredit yang komprehensif dan mampu milik,” ujarnya sewaktu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu negara pada Jumaat.
Nor Azman juga berkata bahawa Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad sudah menyediakan peruntukkan setiap tahun sepanjang perkongsian perjanjian bersama Agrobank.
"Kami juga memperuntukkan RM1 juta setiap tahun sepanjang perkongsian bancatakaful ini untuk pelanggan Agrobank yang merupakan Asnaf atau penerima zakat, selaras dengan falsafah korporat kami untuk memperbaiki kehidupan dan menyumbang ke arah masyarakat penyayang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah berkata sasaran usahasama ini adalah untuk membangunkan dua produk pelan perlindungan kepada komuniti pertanian.
Ia juga turut memberi fokus perlindungan kepada golongan agroprenuer yang dianggap terpinggir dan tidak mendapat perhatian.
"Sebagai tambahan kepada pelan perlindungan tersebut, produk takaful khusus seperti pelan rancangan persaraan, pendidikan dan perubatan mampu milik akan diperkenalkan kepada agropreneur daripada komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan seperti kumpulan B40, asnaf, wanita dan orang kelainan upaya (OKU) ini,” ujarnya.
Majlis menandatangani MoU turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohammad Sabu dan Ketua Setiausaha Kementerian pertanian dan keterjaminan makanan Datuk Haslina Abdul Hamid.
#AgroBank #takaful #perlindungan #sektor pertanian
;