Affin Bank peroleh tanah di TRX untuk bina ibu pejabat
Bernama
Ogos 10, 2015 20:14 MYT
Ogos 10, 2015 20:14 MYT
Affin Bank Bhd telah memperoleh tanah seluas 0.51 hektar di Tun Razak Exchange (TRX) daripada KLIFD Sdn Bhd dengan harga RM255 juta, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd Jamil.
Katanya, pembangunan di situ akan mempunyai keluasan lantai kasar berjumlah 823.439 kaki persegi dan syarikat itu, yang tidak mempunyai 'tempat tinggal' selama 40 tahun sebelum ini, bakal menempatkan ibu pejabat baharu setinggi 35 tingkat.
"Kami telah mencari lokasi yang sesuai dan ianya memenuhi keperluan syarikat serta berada di lokasi yang sesuai. Kami perlu lebih banyak ruang untuk menempatkan semua orang di bawah satu bumbung," katanya semasa taklimat media mengenai pengambilalihan itu di sini hari ini.
Tanah berharga RM262 juta itu telah dinilaikan secara bebas.
Bangunan baharu itu akan memberi kos tambahan bernilai RM300 juta, dengan pembinaan dijangka siap pada penghujung 2018.
Pembayaran sebanyak 10 peratus akan dibuat melalui deposit dan baki akan dibayar selepas hak pendaftaran diserahkan, katanya.
Jumlah penuh akan dibayar melalui dana dalaman, yang bersamaan dengan 0.4 peratus daripada jumlah aset bank.
Beliau ketika ditanya mengenai jika pengambilalihan ini akan membabitkan konflik kepentingan yang membabitkan Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata : "Dia (Lodin) tidak menyertai proses membuat keputusan. Pembelian dibuat untuk diri kami."
Pembelian itu juga tidak memerlukan kelulusan daripada para pemegang saham, katanya lagi.
Affin telah berunding untuk membeli tanah itu sejak setahun yang lalu dan syarikat tersebut hanya membuat keputusan yang muktamad baru-baru ini.
"Selain TRX, bank itu juga mengintai tempat lain yang sesuai, termasuk kawasan sekitar KLCC dan KL Sentral," katanya.