AEC di landasan tepat, kini siap 91.5 peratus - Mustapa

Astro Awani
Ogos 22, 2015 00:09 MYT
Kata Mustapa semua negara ASEAN perlu berusaha lebih keras untuk menyelesaikan baki 8.5 peratus membabitkan beberapa isu-isu yang belum selesai. - Foto Bernama
Cadangan Malaysia untuk membentuk satu komuniti ekonomi tunggal di ASEAN menjelang penghujung tahun ini, kini di landasan yang tepat dan siap 91.5 peratus.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata, semua negara ASEAN perlu berusaha lebih keras untuk menyelesaikan baki 8.5 peratus membabitkan beberapa isu-isu yang belum selesai.
Menurutnya, baki antara halangan itu membabitkan isu-isu pengangkutan, tawaran dalam pakej kesepuluh Rangka Kerja ASEAN Mengenai Perjanjian Perkhidmatan (AFAS) serta kemudahan perdagangan dalam jendela tunggal ASEAN yang kini di peringkat perintis.
Di samping itu, katanya wujud kebimbangan disuarakan usahawan tempatan mengenai pengangkutan darat merentasi sempadan yang boleh menjejaskan perniagaan mereka.
"Tahun ini, tahun yg penting kerana kita telah menetapkan 2015 sebagai tahun deliverables, perkara yang hendak dicapai, umpamanya sekarang ini kita 19.1 peratus dari segi pencapaian, 506 langkah semuanya.
"Kita sekarang ni 91.5 peratus. Oleh kerana ini 2015, kita menyatakan betapa pentingnya kita lihat with a sense of urgency to realize some of the unfinished business. Itu penting," katanya pada sidang media di akhir hari pertama mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan mesyuarat pada Sabtu.
Beliau berkata, sasaran sekarang ialah untuk mencapai ke tahap kesediaan 95 peratus.
Mengulas inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Mustapa berkata, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN akan memastikan tiada sebarang perubahan langkah untuk kembali ke peringkat asal dalam usaha memantapkan daya saing perkumpulan itu.
Pada mesyuarat itu juga, barisan Menteri-Menteri ASEAN turut meluluskan draf dirangka pasukan petugas khas peringkat tertinggi kumpulan kerja penyepaduan Asean.
#AEM #AFAS #Komuniti Ekonomi ASEAN #Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN
;