ADTV Bursa Malaysia melonjak 42 peratus kepada RM2.9 bilion dalam empat bulan pertama 2024

Bernama
Mei 11, 2024 11:01 MYT
Muhamad Umar berkata, bagi minggu ini sahaja, permodalan pasaran tempatan mencecah rekod tertinggi sebanyak RM2 trilion dengan FBM KLCI melepasi 1,600 mata. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Purata nilai dagangan harian (ADTV) Bursa Malaysia melonjak 42 peratus kepada RM2.9 bilion dalam tempoh empat bulan pertama 2024, menunjukkan kerancakan pasaran ekuiti tempatan sejak awal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Muhamad Umar Swift berkata bagi minggu ini sahaja, permodalan pasaran tempatan mencecah rekod tertinggi sebanyak RM2 trilion dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melepasi 1,600 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata prestasi syarikat senaraian baharu di bursa saham tempatan pada 2024 juga agak kukuh, dengan majoriti daripada 13 syarikat senaraian baharu setakat ini bagi tahun ini, menutup dagangan mengatasi harga tawaran awam permulaan (IPO) mereka setakat akhir April 2024.
"Malah, lima daripada IPO menikmati kenaikan harga lebih 50 peratus," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pasaran Bursa 2024 yang diadakan selama dua hari di Pusat Beli-belah Suria Sabah di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Muhamad Umar berkata perkembangan yang baik itu menjadikan pasaran saham tempatan lebih menarik untuk orang ramai menyertai pasaran modal, meningkatkan kekayaan dan menjadi sebahagian daripada ekonomi negara yang semakin berkembang.
Beliau berkata walau bagaimanapun, hanya kira-kira 50,000 orang dewasa atau 1.5 peratus daripada lebih tiga juta penduduk di Sabah, telah membuka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) untuk mengakses peluang pelaburan dalam sekuriti di bursa.
"Ini menandakan kurangnya pengetahuan dalam kalangan penduduk Sabah mengenai peluang pelaburan yang disediakan bursa," katanya.
Beliau berkata bagi membantu rakyat Sabah memulakan atau mempelbagaikan strategi mereka untuk melabur demi masa depan, Pameran Pasaran Bursa 2024 mengetengahkan bicara pengetahuan mengenai perancangan kewangan yang berkesan dan penciptaan kekayaan, untuk memenuhi keperluan kewangan mereka.
Pameran Pasaran Bursa 2024 yang bertemakan 'Invest Today, Harvest Tomorrow' adalah antara program pendidikan pelabur Bursa Malaysia yang bertujuan menggalakkan celik kewangan dengan pengetahuan mengenai peluang pelaburan dalam pelbagai jenis aset yang ditawarkan Bursa Malaysia seperti saham, dana dagangan bursa, waran berstruktur, derivatif dan emas.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.
-- BERNAMA
#ADTV #Bursa Malaysia #purata nilai dagangan harian #Muhamad Umar Swift