Adnan Zaylani dilantik Penolong Gabenor mulai 1 Ogos - BNM

Bernama
Ogos 5, 2016 19:00 MYT
Adnan akan bertanggungjawab untuk Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Pentadbiran Pertukaran Asing, Jabatan Undang-Undang dan Pengurusan Mata Wang serta Operasi.
Bank Negara Malaysia (BNM) telah melantik Adnan Zaylani Mohamad Zahid sebagai Penolong Gabenor berkuat kuasa 1 Ogos 2016.
Adnan akan bertanggungjawab untuk Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Pentadbiran Pertukaran Asing, Jabatan Undang-Undang dan Pengurusan Mata Wang serta Operasi, kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz, yang kini bertanggungjawab kepada Jabatan Ekonomi, Dasar Kewangan, Perkhidmatan Antarabangsa dan Statistik, berkuat kuasa 1 Ogos 2016.
"Adnan akan terus berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan," katanya.
Beliau menyertai BNM pada 1994 dan mempunyai 22 tahun pengalaman kerja dalam bidang operasi pelaburan serta pasaran kewangan.
#Adnan Zaylani Mohamad Zahid #Bank Negara Malaysia #BNM #penolong gabenor
;