ADEX Digital Malaysia dijangka cecah RM1.3 bilion tahun ini
Bernama
November 16, 2018 05:20 MYT
November 16, 2018 05:20 MYT
Perbelanjaan pengiklanan (ADEX) digital Malaysia dijangka mencecah RM1.3 bilion pada tahun ini, mengatasi angka sebelum ini yang dicatatkan oleh media cetak dan televisyen.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata ADEX digital dan mudah alih telah mencatat peningkatan yang luar biasa manakala akhbar dan saluran televisyen percuma menyaksikan penurunan.
Berdasarkan angka ADEX terkini Nielsen, yang tidak termasuk televisyen berbayar dan media digital, jumlah perbelanjaan pengiklanan bagi suku pertama 2018 merosot 0.6 peratus kepada RM1.34 bilion berbanding RM1.5 bilion pada suku tahun sama sebelum ini.
"Bagaimanapun, saya yakin ADEX tahunan di Malaysia akan berada sekitar RM5 bilion sekali lagi," katanya pada pelancaran Malaysian Chief Marketing Officers (CMO) Awards di sini pada Jumaat.
Menurut laporan industri, katanya pada pertengahan 2019, media digital, akhbar dan televisyen (gabungan siaran televisyen percuma dan berbayar) masing-masing akan menguasai kira-kira 25 peratus daripada ADEX.
Gobind berkata ini mencerminkan pola yang konsisten daripada peningkatan ADEX pada bulan-bulan berikutnya susulan pilihan raya berdasarkan trend daripada pilihan raya umum ke-12 dan ke-13.
"Dengan pemansuhan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang merangsang perbelanjaan pengguna, dan langkah-langkah lain oleh kerajaan Pakatan Harapan, kami gembira dengan unjuran bagi 2019 dan berharap untuk menyaksikan peningkatan dalam aktiviti ekonomi.
"Perniagaan perlu mendapatkan semula kepercayaan mereka dalam pemasaran jenama dan saya melihat ini sebagai peluang besar untuk pertumbuhan," katanya.
Sementara itu, Gobind berkata kementeriannya menyedari peranan strategik industri pemasaran Malaysia yang dimainkan dalam industri yang semakin meningkat ini, terutamanya dalam sektor e-Dagang, blockchain, programmatic dan mudah alih.
-- BERNAMA
#Digital Malaysia
#Gobind Singh Deo
#Malaysian Chief Marketing Officers
#Nielsen
#Perbelanjaan pengiklanan