ADB gesa ASEAN tingkatkan kualiti hidup untuk bangunkan masyarakat berdaya tahan

Bernama
Mei 25, 2023 04:20 MYT
Laporan Bank Pembangunan Asia pada Khamis menggesa negara ASEAN supaya melabur dalam kemahiran digital, infrastruktur dan kewangan untuk mengurangkan kos perniagaan dan membangunkan rantau yang lebih berdaya saing. - Gambar fail
MANILA: ASEAN perlu berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat di rantau ini untuk membina komuniti yang berdaya tahan dan kembali pulih dengan lebih cepat, lapor Xinhua memetik laporan Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Khamis.
Untuk mencapai kemajuan, rantau ini perlu memberi tumpuan dalam usaha memastikan rakyat boleh membaca, pintar matematik dan sains, pemakanan yang lebih baik selain akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti, menurut laporan bank yang berpangkalan di Manila itu.
"Ketika rantau ini pulih daripada pandemik, sistem kesihatan perlu diperkukuh, meningkatkan kualiti pendidikan selain menambah baik pemakanan akan melengkapkan pekerja muda dari segi fizikal, mental, dan emosi serta meningkatkan produktiviti mereka," kata Ketua Pengarah ADB untuk Asia Tenggara Winfried Wicklein.
Laporan itu juga menggesa negara ASEAN supaya melabur dalam kemahiran digital, infrastruktur dan kewangan untuk mengurangkan kos perniagaan dan membangunkan rantau yang lebih berdaya saing.
Sekatan pandemik yang dilaksanakan di negara ASEAN menyebabkan penguncupan 3.2 peratus keluaran dalam negara kasar di rantau ini pada 2020, manakala pertumbuhan meningkat kepada 3.5 peratus pada 2021 dan 5.6 peratus pada 2022, menurut laporan itu.
-- BERNAMA
#ADB #ASEAN #kualiti hidup #Winfried Wicklein
;