ADB akan mulakan kajian mengenai Zon Ekonomi Khas Sempadan pada Januari
Bernama
September 17, 2013 12:55 MYT
September 17, 2013 12:55 MYT
Bank Pembangunan Asia (ADB) akan memulakan kajian tinjauan mengenai Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Januari depan.
"Kajian itu akan menetapkan terma rujukan untuk kajian mendalam pada masa depan dan mengenall pasti sumber pembiayaan berpotensi.
"Hasil kajian itu akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin IMT-GT pada April 2014," demikian menurut kenyataan media bersama mengenai mesyuarat peringkat menteri IMT-GT ke-19 pada Jumaat di Koh Samui, Thailand.
Kenyataan itu dikeluarkan kepada Bernama pada Sabtu. Malaysia diwakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.
Kenyataan itu turut memuji Dumai atas kemajuan ketara dalam membangunkan projek kapal perhubungan RORO (roll-on roll-off) Dumai-Melaka dalam IMT-GT.
"Kami tidak sabar menunggu kemajuan Melaka dalam membangunkan projek itu yang akan meningkatkan pehubungan maritim di IMT-GT dan di peringkat Asean," katanya.
Mesyuarat itu turut mengambil perhatian ke atas laluan Belawan-Pulau Pinang -Trang yang dicadng sebagai satu lagi laluan penting.
IMT-GT ialah inisiatif kejasama sub-rantau yang dibentuk oleh kerajaan tiga negara pada 1993 bagi menyegerakan transformasi ekonomi di wilayah yang paling kurang membangun.
Kerjasama itu bertujuan menggalakkan kebajikan dan pertumbuhan ekonomi rakyat di kawasan naungan IMT-GT.
IMT-GT kini meliputi 14 wilayah di Selatan Thailand (Krabi, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Pattani, Phattalung, Satun, Songkhla, Trang, Yala, Chumphon, Ranong, Surat Thani, Phang Nga dan Phuket), lapan negeri di Malaysia (Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Selangor) serta 10 wilayah di kepulauan Sumatra, Indonesia (Aceh, Bangka-Belitung, Bengkulu, Jambi, Lampung, Sumatra Utara, Riau, Kepulauan Riau, Sumatra Selatan dan Sumatera Barat).