Adakah emas masih pelaburan yang baik?
Cerenna Manickam
Julai 11, 2013 10:36 MYT
Julai 11, 2013 10:36 MYT
Emas tidak pernah hilang seri sebagai komoditi pelaburan paling terjamin tidak kira pada kaunter dagangan mahupun di kalangan pelabur emas fizikal.
Meskipun begitu, dagangan logam berharga itu kini berdepan risiko dilanda kerugian tahunan pertama kalinya dalam sejarah 13 tahun sekiranya corak dagangan lemahnya ketika ini berterusan.
Adakah ini merupakan petunjuk bahawa emas semakin hilang tarikannya sebagai lubuk pelaburan selamat atau adakah trend menurun ini dipacu oleh faktor lebih positif seperti peningkatan keyakinan pelabur terhadap ekonomi global?
Kali terakhir dagangan emas menyaksikan kerugian tahunannya adalah pada tahun 2000 yang kemudian diikuti dengan sentimen bullish di pasaran pada tahun berikutnya.
Kejutan terbaru pula berlaku pada 15 April lalu apabila harga emas jatuh secara mendadak dengan merekodkan keruntuhan harga terbesar sejak 1993.
Ini sekaligus membawa kepada kemerosotan tinggi suku kedua tahun ini dengan kerugian mencecah rekod 44.7 bilion dolar, satu corak dagangan yang telah menggemparkan pasaran termasuk pelabur veteran.
Menurut penganalisis pelaburan Philip Futures yang berpangkalan di Singapura, Joyce Liew, sentimen di kalangan pelabur ketika ini banyak dipacu oleh keyakinan terhadap kemantapan ekonomi Amerika Syarikat.
Beliau pada masa sama kurang optimis dengan prestasi dagangan emas sepanjang tahun ini dan menjangkakan harga emas mungkin mencecah paras sokongan rendah 1107 seaun.
Meskipun begitu, rekod data yang dikumpulkan oleh Bloomberg membayangkan pasaran dagangan emas masih mempunyai harapan untuk melantun semula pada separuh tahun kedua tahun ini melihat kepada corak dagangannya sejak 1981.
Berdasarkan rekod,dari tahun 1981 sehingga 2000 ,dagangan emas bagi tempoh separuh tahun kedua biasanya lebih optimis dengan keuntungan purata sebanyak 1.3%.
Ini berbanding separuh tahun pertama yang biasanya mencatatkan kerugian purata sebanyak 3.9% bagi tempoh sama.
Jangkaan ini turut disokong oleh beberapa pemerhati pasaran yang optimis kemerosotan harga emas ketika ini adalah berikutan lambakan tawaran emas di pasaran bagi menyokong matawang dolar.
Justeru, Professor Abdul Halim dari Universiti Multimedia Melaka percaya kedudukan emas sebagai instrumen pelaburan jangka panjang terjamin tidak akan tergugat.
Pemerhati pasaran berpendapat pelabur kini perlu mengikuti rapat perkembangan di pasaran utama antaranya amerika syarikat untuk mendapatkan petunjuk.
Joyce Liew berkata antaranya perlu peka terhadap perkembangan mesyuarat Pesuruhjaya Persekutuan Pasaran Terbuka (FMOC) pada Julai dan September ini.
Harga emas dijangka akan melalui beberapa pusingkan kemerosotan lagi sekiranya keputusan bank pusat Amerika untuk menarik balik usaha rangsangan dicatitkan secara rasmi di dalam minit mesyuarat tersebut.
Manakala, untuk pasaran kembali ke paras bullish pula, dua perkara utama dinjangka akan melonjakkan harga emas iaitu jika ia mencapai paras rendah atau kadar inflasi di Amerika meningkat.
Tambah Joyce lagi, pelabur emas yang mahu melepaskan pegangan di tangan boleh menanam modal di dalam instrumen lain seperti sektor hartanah.
Dari aspek pelabur emas fizikal pula, kemerosotan harga emas telah melonjakan sentimen positif di pasaran dengan ketara dalam tempoh singkat.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold Datuk Louis Ng ,yang syarikatnya terlibat di dalam penjualan jongkong dan syiling emas fizikal, jualan syarikatnya telah meningkat.
Tambah Louis lagi, kos pelaburan emas fizikal yang lebih rendah ini juga menjadi faktor penggalak kepada pelabur kali pertama untuk belajar menanam modal.
Menurut Professor Abdul Halim Abdul Hamid pula, pembelian agresif emas fizikal akan turut disumbang faktor bermusim seperti ketibaan Hari Raya Aidilfitiri.
Permintaan untuk emas dalam bentuk barangan perhiasan juga dijangka menarik ramai pembeli dengan kemudahan ditawarkan banyak gedung emas yang membenarkan emas dijual kembali pada harga menarik.