Ada kemungkinan Kongres AS ratifikasikan TPP - Mustapa

Bernama
November 3, 2016 09:11 MYT
Mustapa kelihatan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Perdagangan China, Gao Yan (kiri) sewaktu menghadiri forum perniagaan Malaysia-China 'Strengthening Cooperation, Building Opportunities' di Beijing pada Selasa. - Foto Bernama
Terdapat kemungkinan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan diratifikasikan oleh Kongres Amerika Syarikat (AS) sama ada pada akhir November atau awal Disember tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Kita diberikan gambaran ada kemungkinan perkara ini diluluskan oleh Kongres.
"Ini disampaikan melalui komunikasi yang sering disalurkan," katanya kepada wartawan Malaysia, di sini, pada Rabu, sebelum berlepas ke Cebu, Filipina untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Mustapa, yang berada di sini mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan selama enam hari beliau ke China, akan ke Hong Kong kemudiannya untuk menghadiri majlis penutup Persidangan Asia Pasifik Perniagaan Jerman pada Jumaat.
Beliau berkata AS konsisten dengan pendirian mereka mengenai TPP, dan sentiasa memaklumkan mengenai perkembangannya.
"Oleh itu ada kemungkinan ia diluluskan oleh Kongres, bagaimanapun ia memerlukan kelulusan Senat and House of Representative untuk meluluskannya," katanya.
Mustapa berkata jika ia tidak diluluskan oleh Kongres, negara-negara yang terlibat dalam TPP perlu membincangkan tindakan seterusnya.
Dua belas negara, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Malaysia, memuktamadkan rundingan TPP di Atlanta pada 5 Okt tahun lepas dan memeterai perjanjian itu di Auckland pada 4 Feb.
Malaysia komited menyelesaikan proses ratifikasi perjanjian perdagangan itu menjelang 2018 dan telah mengenal pasti 18 undang-undang yang perlu dipinda. -- Bernama
#Barack Obama #Beijing #kongres #Kuala Lumpur #Mustapa Mohamed #TPP #TPPA
;