Ada baiknya kerajaan terkebelakang dalam dasar teknologi - Pakar Dasar Teknologi

Ibrahim Sani
Oktober 5, 2023 17:34 MYT
Nelson berkata, kerajaan harus fahami bahawa persediaan dan mekanisme yang mereka ada tidak membolehkan mereka untuk bergerak sepantas keperluan pasaran. - Astro AWANI
KUCHING : Menurut pakar dasar teknologi, walaupun wujud satu senario di mana kerajaan di serata dunia mungkin dilihat sebagai terkebelakang dalam pembentukan dasar berkenaan dengan teknologi dan inovasi, ia adalah suatu perkara yang tidak patut dilihat sebagai perkara yang kurang memuaskan.
Menurut Felo Kanan, Carnegie Endowment for International Peace, Michael R. Nelson, kerajaan perlu menyesuaikan peranan mereka sebagai pembentuk dan penyelaras dasar. Namun demikian, swasta dan juga pemain industri lain harus menjalankan peranan mereka untuk memberikan solusi kepada masyarakat dengan kadar pantas, seiring keperluan pasaran.
"Kerajaan harus memahami bahawa persediaan dan mekanisme yang mereka ada tidak membolehkan mereka untuk bergerak sepantas keperluan pasaran," kata Michael Nelson.
"Namun demikian, peranan mereka sebagai pembentuk undang-undang, penyelaras rangka kerja dan pembentuk dasar adalah sesuatu yang tidak boleh diambil oleh mana-mana pihak. Tujuan mereka adalah untuk memastikan segala dasar teknologi yang perlu ada, adalah untuk membantu pasaran berikan solusi terbaik kepada pasaran," tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika hadir di Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT) edisi tahun 2023.
"Sepanjang inovasi teknologi yang berlansung selama ini, peranan kerajaan adalah untuk memastikan bahawa dasar teknologi yang ada perlu menyokong pertumbuhan sektor ini. Sekiranya kerajaan menyedari peranan mereka, ini membolehkan sektor swasta, pemain industri lain, dan ahli akedemik mampu membantu tumbuh sektor ini dengan lebih pantas, seiring dengan keperluan pasaran," kata beliau lagi.
Ikuti perbincangan penuh wawancara ini bersama Editor Kanan Astro AWANI - Ibrahim Sani di Niaga AWANI dan Notepad, di saluran 501 Astro ataupun di mana-mana platform Astro AWANI.
#Michael R Nelson #Carnegie #WCIT #IDECS #Kuching #Sarawak
;