ACCCIM gesa kerajaan sedia skim kredit eksport, turun duti import

Bernama
Februari 3, 2025 18:46 MYT
Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Datuk Ng Yih Pyng menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran ACCCIM hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menggesa kerajaan untuk menyediakan skim kredit eksport dan menurunkan duti import ke atas bahan mentah bagi menyokong perniagaan terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Ringkasan AI
  • ACCCIM menggesa kerajaan menyediakan skim kredit eksport dan menurunkan duti import bahan mentah untuk membantu perusahaan mikro, kecil, dan sederhana.
  • Kerajaan disarankan memberi lebih sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam meneroka pasaran eksport baharu dan mempelbagaikan rantaian bekalan.
  • ACCCIM kekal positif mengenai prospek pelaburan Malaysia, dengan lebih 30% responden menjangkakan prospek ekonomi dan perniagaan yang lebih baik untuk 2025.

Menurut Presidennya Datuk Ng Yih Pyng, dasar pragmatik seperti ini penting untuk membantu perniagaan mengharungi kesan-kesan yang mungkin timbul daripada dasar perdagangan baharu yang dilaksanakan oleh ekonomi besar.
"Perniagaan mahukan kejelasan dan konsistensi dalam dasar awam. Amat penting untuk mengekalkan dasar mesra perniagaan pragmatik serta progresif yang memupuk persekitaran selamat selain kondusif bagi pelabur dan perniagaan untuk berkembang," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran persatuan itu di sini hari ini.
Ng juga berkata kerajaan harus memberi lebih sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam meneroka pasaran eksport baharu dan mempelbagaikan rantaian bekalan mereka.
"Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) yang ditandatangani Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu boleh menjadi saluran untuk membina lebih banyak rakan dagang di Timur Tengah.
"Penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Malaysia (MEUFTA) pula akan mengukuhkan hubungan ekonomi dengan Kesatuan Eropah," katanya.
Persatuan itu juga berharap pelaksanaan pembaharuan ekonomi serta pendekatannya dilaksanakan secara beransur-ansur bagi mengelakkan gangguan kepada pasaran dan perniagaan.
Bagaimanapun, kata persatuan itu, perkara yang menjadi kebimbangan khusus pada waktu ini merupakan kenaikan tarif elektrik dan kadar sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dicadangkan ke atas pekerja asing.
Dalam pada itu, Ng menekankan ACCCIM kekal positif mengenai prospek pelaburan Malaysia dan akan memainkan peranan utama dalam memupuk kerjasama ekonomi, menggalakkan kerjasama perniagaan serta menjalin rangkaian di antara perniagaan Malaysia dengan asing.
"Terdapat rasa optimis berhati-hati untuk prospek ekonomi dan keadaan perniagaan pada tahun ini.
"Penemuan awal Tinjauan ACCCIM menunjukkan lebih 30 peratus responden menjangkakan prospek ekonomi dan perniagaan yang lebih baik untuk 2025, lebih tinggi daripada di bawah 20 peratus untuk 2024," katanya.
-- BERNAMA
#Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia #ACCCIM #skim kredit eksport #turunkan duti import
;