Acara perniagaan perlu optimum penggunaan data raya
Astro Awani
April 26, 2022 20:18 MYT
April 26, 2022 20:18 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan data raya dalam industri acara perniagaan penting bagi meraih manfaat dalam pertumbuhan sektor itu.
Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, data yang menyeluruh akan memberikan keleihan kepada penganjur untuk membuat keputusan yang tepat dan memahami persekitaran pasaran semasa dengan lebih baik.
"Kita perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan data raya.
"Akses kepada data maklumat yang tepat dan fakta akan memastikan produktiviti yang baik serta memberi nilai tambah kepada industri acara perniagaan," katanya ketika berucap pada Malaysian Business Events Council: Malaysia Business Charter: Our Way Forward di sini, pada Selasa.
Irmohizam menambah, akses pantas kepada maklumat yang tepat akan membantu proses membuat keputusan serta memberi gambaran holistik mengenai prestasi industri.
Beliau memberitahu, ia juga mampu bertindak sebagai panduan dalam melaksanakan strategi, sekali gus membuka ruang potensi yang lebih besar pada masa depan.