ABM tetapkan empat keutamaan strategik bagi pertumbuhan masa hadapan
Nabilah Khaleeda
Disember 10, 2024 11:40 MYT
Disember 10, 2024 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) menggariskan empat keutamaan strategik masa hadapan seiring 50 tahun penubuhannya.
Fasa baharu strategi itu meliputi keterangkuman sosial, inovasi digital dan teknologi, amalan lestari serta pembangunan dan ketahanan industri.
Pengerusinya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, keutamaan ini selaras dengan strategi sosio-ekonomi Malaysia dan matlamat pembangunan lestari ASEAN.
Persatuan itu turut menyasarkan untuk meletakkan ASEAN sebagai peneraju dalam kewangan lestari sambil menggalakkan kerjasama yang lebih rapat dengan pengawal selia, pemain industri dan pihak berkepentingan.
"Selama lima dekad, persatuan itu menjadi tonggak inovasi dan ketahanan selain menyesuaikan diri dengan cabaran sambil menyokong komuniti dan perniagaan.
"Persatuan itu juga telah memperjuangkan inisiatif untuk memerangi penipuan kewangan, menyokong pendigitalan perkhidmatan perbankan, selain usaha lanjutan dalam celik kewangan dan keterangkuman sosial.
“Kami bersaing, tetapi dalam persaingan ini, kami mempunyai matlamat yang sama iaitu melindungi pelanggan, menyediakan modal kepada segmen yang betul untuk pertumbuhan, serta memberi impak positif kepada masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Khairussaleh turut menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama serantau.
Pada Mesyuarat Majlis Perbankan ASEAN Ke-52 yang bertemakan "Kelestarian: Bertindak Sekarang untuk Masa Depan", ABM menekankan tekad bersama pemimpin perbankan ASEAN bagi menangani cabaran bersama termasuk perubahan iklim, transformasi digital dan keterangkuman kewangan.
Ia termasuk sistem pembayaran rentas sempadan, rangka kerja pembiayaan hijau serta infrastruktur digital bersama selain membuka jalan untuk komuniti kewangan ASEAN yang lebih kukuh dan lestari.
“Bank memainkan peranan penting dalam menggerakkan modal daripada simpanan kepada pelaburan dan pengguna produktif.
“Selama lebih 50 tahun, kami telah memenuhi tanggungjawab untuk semua segmen, termasuk individu, PKS dan korporat,” kata Khairussaleh kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Tambah beliau, ABM akan terus memainkan peranan utama dalam digitalisasi, kelestarian, keterangkuman, serta memberi impak positif kepada komuniti, memastikan kemajuan negara dan kesejahteraan untuk semua segmen masyarakat.
Selain itu, kesedaran mengenai kelestarian juga penting, terutama dalam menghadapi impak perubahan iklim dan peralihan ke arah karbon sifar bersih menjelang 2050.
Beliau turut menegaskan kejayaan peralihan kelestarian memerlukan kerjasama antara pihak kerajaan, pengawal selia, dan pemain ekonomi.