AAPA jangka perjalanan udara Asia Pasifik pulih sepenuhnya menjelang suku pertama 2024

Bernama
Februari 15, 2023 10:50 MYT
Persidangan bertajuk Panel Powerhouse: Forum Situasi Industri Penerbangan diadakan ketika Routes Asia CNX 2023 di Chiang Mai, 14 Feb 2023. - Foto Routesonline
CHIANG MAI: Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) menjangkakan perjalanan udara di rantau Asia Pasifik akan pulih sepenuhnya menjelang suku pertama 2024, kembali ke tahap sebelum pandemik 2019 di tengah-tengah cabaran global.
Ketua Pengarahnya Subhas Menon berkata rantau Asia-Pasifik akan terus pulih dengan pembukaan semula ekonomi dan perjalanan di China, yang menyumbang kepada 40 peratus perjalanan untuk rantau itu.
"Pada penghujung 2022, Asia Pasifik telah pulih kepada 47.5 peratus dari paras 2019 dan salah satu sebab utama untuk itu ialah pasaran China (penting) masih belum dibuka," katanya kepada media Malaysia selepas Panel Powerhouse: Forum Situasi Industri Penerbangan di Routes Asia CNX 2023 di sini semalam.
Namun begitu, Subhas berkata industri penerbangan perlu berusaha untuk menangani masalah yang berlarutan, terutamanya harga bahan api jet yang tinggi yang meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan serta had dalam meletakkan lebih banyak penerbangan untuk memenuhi permintaan terpendam.
"Harga bahan api jet sangat tinggi, dengan perbezaan antara harga minyak mentah Brent dan harga bahan api jet biasanya antara 15 hingga 30 peratus tetapi kini ia meningkat lebih 80 peratus," katanya.
Tambahan pula, Subhas berkata bahawa trend inflasi, dengan dolar AS yang kukuh, telah menjejaskan banyak mata wang di rantau Asia-Pasifik yang lebih lemah pada masa ini.
"Keupayaan orang ramai untuk berbelanja juga akan terjejas tetapi kami optimis dengan berhati-hati bahawa industri penerbangan dan yang paling penting industri pelancongan akan terus berkembang dan kukuh pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Subhas juga berkata bahawa terdapat keperluan untuk penyelarasan antara kerajaan di rantau Asia Pasifik untuk bekerjasama dan bersepakat untuk meningkatkan lagi industri kembali ke tahap sebelum pandemik.
"Kita hanya melihat bahawa kerajaan telah memperkenalkan undang-undang dan peraturan untuk rakyat masing-masing dan tidak semuanya sesuai untuk perjalanan antarabangsa.
"Tambahan pula, Asean sudah mempunyai rangka kerja yang baik tetapi kita perlu mengembangkannya lagi," katanya, sambil menambah bahawa industri penerbangan Malaysia telah mencapai tahap yang baik sehingga kini dengan rangka kerja dan pengubahsuaian baharu.
Sementara itu, Pengarah Serantau Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa Asia Pasifik Tao Ma berkata kerjasama antara semua pihak berkepentingan di rantau ini sebagai satu pasukan perlu diperkukuh untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
"Kami juga perlu bekerjasama rapat dengan organisasi seperti AAPA, Majlis Lapangan Terbang Asia-Pasifik (ACI) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa untuk mengusahakan pemulihan industri penerbangan di rantau ini," katanya.
Ketua Pengarah ACI Stefano Baronci berkata perjanjian dua hala dan pelbagai hala perlu diperkukuh lagi untuk memudahkan proses perjalanan dari segi pendigitalan.
"Kami berharap kebanyakan lapangan terbang akan kembali meraih keuntungan tahun depan selepas mengalami kerugian pada 2022 akibat wabak itu," katanya.
Routes Asia - cetusan idea Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan penganjur The Routes - menyediakan platform untuk syarikat penerbangan, lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan penerbangan di rantau ini bertemu, berkongsi amalan terbaik dan membangunkan strategi rangkaian serta memastikan pembangunan perkhidmatan udara masa hadapan di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Dikenali sebelum ini sebagai New Route Asia, ia pertama kali diadakan pada 2003 di Kuala Lumpur dan diadakan di sana selama tiga tahun berturut-turut. Sedekad kemudian, MAHB menjadi tuan rumah bersama Routes Asia 2014 dengan Lembaga Pelancongan Sarawak di Kuching.
-- BERNAMA
#AAPA #perjalanan udara Asia Pasifik #Subhas Menon #pembukaan semula ekonomi China
;