92 juta pekerjaan terjejas pada 2030 - WEF
Bernama
Januari 8, 2025 15:30 MYT
Januari 8, 2025 15:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 170 peranan baharu dijangka diwujudkan dan 92 juta pekerjaan akan terjejas menjelang 2030 selain menghasilkan peningkatan bersih sebanyak 78 juta pekerjaan baharu, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Laporan "The Future of Jobs Report 2025" yang diterbitkan hari ini oleh WEF mengambil data daripada lebih 1,000 syarikat.
Laporan itu berkata, kemajuan teknologi, perubahan demografi, ketegangan geoekonomi dan tekanan ekonomi adalah pemacu utama terhadap perubahan ini yang mengubah semula industri dan profesion di seluruh dunia.
Sementara itu, Ketua Kerja, Upah dan Penciptaan Pekerjaan WEF, Till Leopold dalam satu kenyataan hari ini berkata, aliran seperti kecerdasan buatan (AI) generatif dan anjakan teknologi yang pesat sedang mengubah industri serta pasaran buruh selain mewujudkan peluang yang belum pernah berlaku selain risiko yang mendalam.
"Masanya sudah tiba untuk perniagaan dan kerajaan bekerjasama, melabur dalam kemahiran dan membina tenaga kerja global yang adil serta tahan lasak," katanya.
Laporan itu berkata, jurang kemahiran juga terus menjadi halangan paling ketara terhadap perubahan perniagaan hari ini.
Hampir 40 peratus kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan dijangka berubah dan 63 peratus majikan sudah menyatakannya sebagai halangan utama yang mereka akan hadapi.
"Kemahiran teknologi dalam AI, data besar dan keselamatan siber dijangka mengalami pertumbuhan pesat dalam permintaan, tetapi kemahiran manusia seperti pemikiran kreatif, ketahanan, fleksibiliti dan ketangkasan akan terus menjadi kritikal.
"Gabungan kedua-dua jenis kemahiran ini akan semakin penting dalam pasaran pekerjaan yang pantas berubah," katanya.
WEF berkata, peranan barisan hadapan dan sektor penting seperti penjagaan dan pendidikan ditetapkan mengalami pertumbuhan pekerjaan tertinggi menjelang 2030.
Kemajuan dalam AI dan tenaga boleh baharu sedang mengubah pasaran, kata laporan itu.
Sehubungan itu, kata WEF, ia mendorong peningkatan permintaan untuk banyak peranan teknologi atau pakar dan pada masa yang sama menyebabkan penurunan bagi beberapa peranan lain termasuk pereka grafik.
-- BERNAMA