90 peratus usahawan Bumiputera berdepan risiko muflis - DPMM
Eton Khir
Ogos 21, 2021 17:14 MYT
Ogos 21, 2021 17:14 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 peratus usahawan Bumiputera termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini berdepan risiko muflis disebabkan pelbagai sekatan akibat COVID-19 sejak awal tahun lalu.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd Halim Husin, berkata semua usahawan terbabit terjejas teruk sehingga ada yang kehilangan sumber pendapatan.
Justeru, katanya DPMM berharap kerajaan boleh mempertimbangkan untuk meluaskan bantuan fizikal kerana realitinya semua usahawan kini berdepan dengan tempoh yang sukar.
Menurutnya, bantuan diperlukan bagi mengembangkan semula perniagaan dan ekonomi negara.
"Antara bantuan yang kita cadangkan ialah moratoriom 3.0 dan pembaharuan (pindaan sekali lagi) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360).
"Akta Insolvensi perlu diperbaiki (dipinda) kerana ketika ini ia menetapkan kadar had (nilai ambang) hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan adalah RM100,000
"Jadi RM100,000 ini, bagi peniaga walaupun peniaga itu menjalankan perniagaan yang kecil... ia adalah jumlah yang sedikit (rendah). Maka kita cadang kerajaan anjak kepada RM300,000 dan RM500,000," katanya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Dalam pada itu, Abd Halim berkata, pakej bantuan yang disampaikan kerajaan juga perlu lebih menyeluruh untuk menjana modal serta pendapatan mereka.
"Ingin saya sampaikan bahawa banyak pakej-pakej yang telah diadakan tetapi orang kita di bawah ini tidak merasa apakah yang telah diberikan itu.
"Walaupun figure (angka) yang telah diberikan itu banyak... beratus juta tetapi di market kita tidak merasa injection itu," katanya.