70 peratus perniagaan di GM Klang kembali beroperasi sejak Isnin lepas

Bernama
Mei 8, 2020 04:42 MYT
GM Klang turut menganjurkan kempen 'Beli Sambil Derma' bermula pada Jumaat sehingga 23 Mei depan. --fotoBERNAMA
Pusat pemborong terbesar di Malaysia, GM Klang kembali beroperasi Isnin lepas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan 70 peratus perniagaannya mula aktif dan akan meningkat dari semasa ke semasa.
Pengurus Pengiklanan dan Promosi pusat pemborong itu, Norsuhaida Othman dalam kenyataan pada Jumaat berkata sebagai tempat tumpuan umum, GM Klang telah bersedia dengan langkah-langkah pencegahan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan persekitaran membeli-belah yang selamat kepada pengunjung.
"Antara persediaan itu ialah saringan kesihatan sebelum pengunjung dibenarkan masuk, kemudahan sanitasi tangan, pelaksanaan penjarakan sosial di tempat sesak seperti lif, mesin ATM, kaunter perkhidmatan awam dan kaunter pembayaran di setiap kedai.
"Peniaga dan pekerja juga diwajibkan memakai topeng muka sepanjang berada di kawasan kompleks yang mana ia merupakan perkara penting kerana dijangka kompleks itu bakal menerima kunjungan ramai menjelang Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.
Norsuhaida berkata GM Klang sudah sinonim sebagai tempat popular untuk 'shopping' raya serta memahami kehendak orang awam yang ingin mendapatkan barangan raya walaupun dalam situasi negara dilanda wabak COVID-19, justeru pihaknya memandang serius keselamatan pengunjung dan berusaha untuk menyediakan persekitaran yang sihat sewaktu mereka membeli-belah.
Selain itu, menurut Norsuhaida, GM Klang turut menganjurkan kempen 'Beli Sambil Derma' bermula pada Jumaat sehingga 23 Mei depan. Mereka yang berbelanja sebanyak RM100 dan ke atas di kedai di pusat pemborong itu layak membeli produk istimewa yang ditawarkan dengan harga hanya RM2.
"Dengan setiap pembelian itu, GM Klang akan menambah RM3 lagi dan ini bermakna sebanyak RM5 akan disalurkan kepada badan kebajikan bagi setiap produk istimewa yang ditebus oleh para pelanggan.
"GM Klang turut aktif mempromosikan produk raya peniaga-peniaga mereka melalui sesi 'live' di media sosial GM Klang. Sesi 'live' itu dijangka diadakan dari 12-22 Mei ini. Sila ikuti media sosial GM Klang untuk maklumat lanjut," katanya.
-- BERNAMA
#GM Klang #keselamatan #kesihatan #Klang #koronavirus #langkah pencegahan #Malaysia #membeli-belah #Norsuhaida Othman #operasi #Pekerja #peniaga #penjarakan sosial #pusat pemborong #saringan kesihatan #selamat #SOP #topeng muka
;