58 peratus rakyat berhajat beli rumah dalam enam bulan pertama 2017 - portal

Bernama
Januari 17, 2017 08:11 MYT
Indeks menunjukkan walaupun pasaran menurun, hampir dua pertiga pengguna menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap harga rumah walaupun diberi diskaun dan tawaran oleh para pemaju. - Gambar hiasan
Lima puluh lapan peratus penduduk Malaysia berhasrat membeli rumah dalam tempoh enam bulan pertama 2017 walaupun sektor hartanah lembap, kata PropertyGuru.com.my.
Portal hartanah dalam talian terkemuka di Asia itu yang mengendalikan 'Tinjauan Sentimen Pengguna' pada penghujung 2016, juga mendedahkan bahawa 38 peratus pengguna menyatakan mereka secara keseluruhannya berpuas hati dengan pasaran hartanah di negara ini.
"Terdapat peningkatan sebanyak 10 peratus dalam kepuasan secara keseluruhan berbanding 28 peratus yang dicatatkan tahun lepas... ini menunjukkan sikap positif pembeli rumah yang dapat menerima realiti harga dan menyesuaikan strategi untuk 2017," kata Pengurus PropertyGuru Malaysia di Malaysia, Sheldon Fernandez dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata menerusi perubahan strategi baharu seperti laluan Transit Aliran Massa dan Pembangunan Berorientasikan Transit, harga hartanah akan tetap stabil atau meningkat meskipun pada kadar perlahan.
"Justeru, para pengguna kini lebih realistik dan dapat menyesuaikan harapan mereka mengikut keadaan semasa.
"Golongan bakal pembeli rumah kini lebih cenderung meninjau hartanah di lokasi yang jauh dari kawasan bandar, namun menawarkan kemudahan pengangkutan yang baik, atau memilih unit hartanah yang lebih kecil di kawasan bandar," kata Sheldon.
Namun, beliau berkata pengguna masih bimbang tentang beberapa faktor lain, dengan 59 peratus berkata keseluruhan harga hartanah masih mahal, diikuti faktor masa (44 peratus) dan kegagalan untuk mendapatkan pinjaman serta membayar deposit awal untuk pendahuluan (39 peratus).
Di samping itu, Indeks Sentimen Kemampuan PropertyGuru yang baharu menunjukkan catatan skor yang rendah pada 37 mata, yang menunjukkan walaupun pasaran menurun, hampir dua pertiga pengguna menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap harga rumah walaupun diberi diskaun dan tawaran oleh para pemaju.
Isu ketidakmampuan juga bertambah buruk dengan peningkatan kos sara hidup.
Berdasarkan senario ini, PropertyGuru berkata isu pemilikan rumah akan terus menjadi cabaran bagi kebanyakan rakyat pada 2017, terutama bagi mereka yang tergolong dalam Generasi Y. -- Bernama
#PropertyGuru #Sheldon Fernandez #Tinjauan Sentimen Pengguna #Transit Aliran Massa
;