50 PMKS bakal diiktiraf dalam Anugerah Enterprise 50 malam ini

Astro Awani
Oktober 26, 2024 15:08 MYT
Program E50 pada tahun ini dengan tema Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia dianjurkan bersama oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Deloitte Malaysia dan disokong KUSKOP. - Foto SME Corp
KUALA LUMPUR:
Pencapaian 50 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia bakal diiktiraf dan diumumkan sebagai pemenang Anugerah Enterprise 50 (E50) bagi tahun 2024 pada malam ini.
Program E50 dengan tema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ dianjurkan bersama oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Deloitte Malaysia, dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Memasuki tahun ke-24 penganjurannya, anugerah ini berjaya menonjolkan PMKS yang berdaya saing dan berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran global dengan semangat keusahawanan yang jitu selain meningkatkan penjenamaan syarikat.
Pengerusi SME Corp, Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata, daripada 50 PMKS yang akan diumumkan sebagai pemenang, 10 penerima teratas akan disenaraikan semasa sidang media namun kedudukan sebenar hanya akan diumumkan pada malam Sabtu.
"Selain itu, tiga penerima anugerah khas akan diumumkan iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50, Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50 dan Anugerah Amalan ESG Terbaik E50," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Anugerah Amalan ESG Terbaik E50 mula diperkenalkan pada tahun ini bagi memperakui syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy memaklumkan sebanyak 122 pencalonan diterima pada tahun ini yang merupakan jumlah tertinggi dicatatkan setakat ini.
Namun, katanya, hanya 105 syarikat daripadanya yang mengemukakan dokumen lengkap dan layak untuk penilaian lanjut berdasarkan aspek kewangan dan bukan kewangan.
"Majoriti penerima anugerah adalah daripada sektor perkhidmatan, beroperasi di Lembah Klang dan memperoleh empat bintang di bawah Program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE).
"Pada tahun ini, sebanyak 16 atau 32 peratus syarikat penerima terdiri daripada syarikat milikan wanita," ujarnya.
Selain trofi dan sijil, pemenang Anugerah E50 bakal menerima pelbagai manfaat seperti penjenamaan melalui liputan media oleh Media Prima Omnia, perkhidmatan penilaian kredit dan karbon oleh RAM Rating Services Berhad, pakej pengiklanan digital oleh KLIA TV dan Malaysia SME, serta pakej Unifi Mobile 5G postpaid Biz39.
Pemenang juga berpeluang mendapatkan kemudahan pembiayaan sehingga RM500,000 menerusi Digital Financing Initiative (DFI) di bawah SME Corp melalui microLEAP.
Antara penerima 10 teratas Anugerah E50 tahun ini adalah Advantage Marine Services (Malaysia) Sdn Bhd, Avialite Sdn Bhd, Global Psytech Sdn Bhd, H&T Consulting Engineers Sdn Bhd, Ligno Biotech Sdn Bhd, Maxvue Vision Sdn Bhd, Nasi Lemak Saleha Sdn Bhd, OSD Consultants (M) Sdn Bhd, Techzilla Global Solution Sdn Bhd dan Ventura IOT Sdn Bhd.
Anugerah E50 adalah hasil kerjasama awam-swasta antara SME Corp Malaysia dengan rakan strategik seperti YTL Corporation Berhad, RHB Bank Berhad, KLIA TV Media, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, ASTRO Malaysia Holdings Berhad, Unifi Business, Malaysia SME, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
#Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi #keusahawanan #PKMS #Kuskop #Anugerah Enterprise 50 #E50
;