50% pinjaman peribadi disalah guna
Nurulhana Ismail
Mac 4, 2016 19:06 MYT
Mac 4, 2016 19:06 MYT
Lebih 50% peminjam peribadi yang meminjam untuk menstruktur kedudukan kewangan mereka menyalahgunakan wang yang diterima.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fortis FP, James Ong ini mengakibatkan pinjaman yang diambil tidak produktif, sebaliknya tambah membebankan.
Konsultan pelaburan serta penasihat perniagaan itu turut menganggarkan, setiap satu daripada 3 pengguna di Malaysia membuat pinjaman peribadi.
"Kalau kita tengok penyalahgunaan itu memang ada kerana objektif pinjaman yang sepatutnya adalah menyelesaikan masalah semasa tetapi ia digunakan untuk perbelanjaan kemahuan," ujar beliau mengulas mengenai laporan kajian oleh Manulife yang menyatakan rakyat Malaysia paling banyak berhutang di Asia.
Menurut James, dalam waktu sukar, pengguna harus berhenti mendahulukan perbelanjaan kemahuan.
Tambahnya, untuk berdepan situasi yang tidak menentu pengguna dan isi rumah harus menyediakan simpanan kecemasan minimum 6 bulan belanja asas.
"Sekiranya sebuah isi rumah memerlukan sebanyak RM5000 perbelanjaan asas, maka jumlah asas simpanan yang perlu disimpan adalah sebanyak RM30,000, " jelas beliau.
Beliau turut percaya peningkatan kos sara hidup akan turut menyukarkan pengguna meningkatkan simpanan.
Sehubungan itu katanya, pengguna harus mempunyai tekad serta disiplin yang tinggi untuk menyimpan dan membezakan diantara perbelanjaan kemahuan, keperluan dan kecemasan.