50 peratus daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memilih untuk mengurangkan kadar caruman daripada 11 peratus kepada lapan peratus.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pengurangan tersebut meningkatkan pendapatan boleh guna sekaligus merangsang ekonomi.

“Kira-kira 50 peratus ahli KWSP memilih untuk mengurangkan caruman daripada 11 kepada lapan peratus. Ini bermakna masih ramai yang memilih untuk mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus,” kata Johari sewaktu melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat KWSP di sini serta meninjau proses pendaftaran Simpanan Shariah 2017.

Mengulas mengenai persediaan Bajet 2017, Johari berkata Kementerian Kewangan sedang giat menjalankan mesyuarat kumpulan fokus bersama pihak berkepentingan, pertubuhan bukan kerajaan dan pemain industri.

Ini bagi mendapatkan maklum balas mengenai cara terbaik kerajaan boleh membantu rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi.