50,882 peniaga online berdaftar dengan SSM

Bernama
Mei 21, 2017 10:52 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (belakang, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara SSM dan Lazada malam tadi. -- Foto Bernama
Seramai 50,882 peniaga dalam talian di seluruh negara telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga 12 Mei lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata terdapat trend peningkatan pendaftaran perniagaan dalam talian yang direkodkan sejak 2015 dengan purata 1,000 perniagaan dalam sebulan.
"Saya melihat perkembangan dunia perniagaan terutama perniagaan dalam talian ini berkembang dari tahun ke tahun. Namun, daripada jumlah itu kami anggarkan ramai lagi peniaga dalam talian masih gagal mendaftarkan perniagaan mereka.
"SSM berharap lebih ramai akan berdaftar dengan kami bagi mematuhi akta yang ditetapkan dan bagi melindungi hak pengguna sebagai pembeli kerana apabila ada kes penipuan, tindakan boleh dikenakan ke atas penjual berdaftar, jika sebaliknya proses untuk tindakan sukar dilakukan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival One SSM peringkat Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Karnival selama tiga hari bermula Jumaat itu adalah untuk membantu golongan usahawan terutamanya peniaga dalam talian mengembangkan perniagaan mereka dan ia dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pada majlis itu Memorandum Persefahaman (MoU) antara SSM dan Lazada turut ditandatangani, Zahrah mewakili SSM manakala syarikat e-dagang berkenaan diwakili Ketua Pegawai Operasi Malaysianya, Kevin Lee Fong Siang.
Zahrah berkata antara faedah yang diperoleh menerusi MoU itu ialah menjaga kepentingan peniaga dalam talian yang semakin ramai di samping dapat merangsang perkembangan ekonomi e-dagang serta menyediakan platform atau kemudahan pendaftaran perniagaan dalam talian secara bersepadu kepada peniaga.
Katanya Lazada juga akan menyediakan latihan secara percuma kepada peniaga dalam talian dan ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk memperluas perniagaan.
"Selain itu, Lazada juga menawarkan pelbagai pakej menarik kepada penjual yang berdaftar dengan SSM antaranya 50 peratus diskaun terhadap komisen kepada Lazada pada bulan pertama," katanya.
Sementara itu, Kevin berkata pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan SSM untuk membangunkan industri e-dagang dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Malaysia.
"Menerusi MoU itu, kami akan mewujudkan peluang dan ruang untuk rakyat Malaysia menerokai bagaimana menjadi seorang peniaga dalam talian yang berjaya dan mendidik mereka mencapai potensi yang lebih tinggi," katanya.
-- BERNAMA
#Hamzah Zainudin #SSM #Suruhanjaya Syarikat Malaysia #Zahrah Abd Wahab Fenner
;