5 perkara yang perlu diperbaik dalam teknologi pendidikan di Malaysia
Pritha Manivannan
April 14, 2016 10:17 MYT
April 14, 2016 10:17 MYT
Teknologi pendidikan kian berkembang pesat dan realitinya pelajar kini lebih celik dalam penggunaan teknologi.
Konsep pembelajaran tanpa sempadan seperti e-pembelajaran berpotensi merevolusikan pendidikan selain mengurangkan kekangan fizikal pembelajaran tradisional.
Berikut merupakan lima perkara yang boleh diperbaik dalam teknologi pendidikan di Malaysia:
1. Naik taraf e-pembelajaran untuk membolehkan komunikasi dua hala
Di kebanyakan institusi pendidikan di Malaysia, e-pembelajaran yang membolehkan komunikasi satu hala digunakan, iaitu pelajar boleh melihat dan mendengar apa yang diajar di dalam kelas tetapi pelajar tidak boleh berkomunikasi dengan pensyarahnya.
Menurut Pengurus Negara, HPE-Aruba Malaysia, Raymond Ooi, komunikasi dua hala melalui e-pembelajaran harus ditingkatkan di Malaysia supaya ia akan memudahkan komunikasi pelajar dengan pensyarah.
Katanya, ini turut akan meningkatkan kualiti e-pembelajaran di Malaysia.
"Jika pelajar tidak boleh hadir ke kelas tersebut, mereka boleh mendapat akses ke topik yang diajar hari ini, tugasan yang diberikan pensyarah dan juga melihat dan mendengar apa yang diajar di kelas serta berkomunikasi dengan pensyarah.
"Ini merupakan komunikasi dua hala," kata Ooi.
2. Meningkatkan kelajuan jalur lebar
Wi-Fi di universiti selalunya dikongsi ramai pelajar, oleh itu kelajuan yang lebih tinggi diperlukan.
Menurut Naib Presiden bagi Pengurusan Produk Global Campus Aruba Networks, Michael Dickman, teknologi Wi-Fi harus mengoptimumkan dan memperbaik pengalaman pengunaan teknologi mereka supaya pengguna akan mendapatkan manfaat sepenuhnya.
"Jalur lebar adalah medium perkongsian di mana semua orang bersaing dengan sumber yang terhad.
"Oleh itu penyedia perkhidmatan memberikan yang terbaik kerana ia penting bagi pengguna menikmati pengalaman yang terbaik," kata Michael.
3. Meningkatkan lagi penggunaan e-pembelajaran antara institusi berlainan
E-pembelajaran antara institusi berlainan harus ditingkatkan di Malaysia.
Menurut Raymond, ini akan meningkatkan kualiti pembelajaran dan mengurangkan kekangan pembelajaran tradisional.
Tambahnya, ini boleh membantu pelajar mendapatkan idea dan konsep yang berlainan dari pensyarah dari universiti berlainan.
4. Peruntukan dana untuk memodenkan universiti
Raymond turut berkata beliau berharap kerajaan dan institusi pendidikan terutamanya universiti awam akan memperuntukkan dana untuk memodenkan universiti.
Kata beliau, penggunaan dan adaptasi teknologi terkini di universiti akan menjadikan pembelajaran lebih efisien serta ini akan membantu mewujudkan pelajar yang celik teknologi.
5. Meningkatkan keselamatan pengunaan internet dalam kampus
Keselamatan internet di kampus harus sentiasa dikemas kini kerana ia sentiasa berubah-ubah.
Menurut Raymond, ini penting kerana keselamatan pengguna internet setiasa diancam.
#Aruba Networks
#e-pembelajaran
#HPE-Aruba Malaysia
#Michael Dickman
#Pengurus Negara
#Raymond Ooi
#Teknologi pendidikan