5 perkara menarik tentang pesawat terbaharu Malaysia Airlines

Shafizan Johari
November 28, 2017 10:59 MYT
Malaysia Airlines dijangka terima enam A350-900 bermula Khamis ini sehingga Jun tahun depan. - Foto Airbus
SYARIKAT penerbangan nasional, Malaysia Airlines dijadualkan menerima pesawat Airbus 350 XWB pertama pada Khamis yang dijangka bakal membawa industri penerbangan Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.
Berikut lima fakta menarik mengenai pesawat era baharu berkenaan.
1. Enam unit pesawat Airbus A350-900 akan disewa dari Air Lease Corp dari Los Angeles, Amerika Syarikat menerusi program selama 12 tahun.
2. Pesawat A350 itu dijangka dapat mengurangkan kos operasi untuk penerbangan ke London sebanyak 40 peratus berbanding mengunakan A380.
3. Empat pesawat A350 akan digunakan untuk penerbangan KL-London, mengantikan pesawat super jumbo A380.
4. Ia boleh memuatkan 286 penumpang melibatkan kelas pertama, kelas perniagaan, kelas ekonomi plus dan kelas ekonomi.
5. Malaysia Airlines dijangka menerima enam A350-900 bermula Khamis ini sehingga Jun tahun depan.
BACA: Tahukah anda betapa besarnya kehadiran Airbus di Malaysia?
Apa yang anda perlu tahu tentang pesawat era baharu A350 ini?
Pesawat A350 dibina dengan lebih 70 peratus material berteknologi tinggi bertujuan mengurangkan sehingga 25 peratus pembebasan karbon dioksida dan bahan api.
Media Malaysia, termasuk editor Astro AWANI Ibrahim Sani, yang melawat kilang utama Airbus di Toulouse, Perancis beberapa bulan lalu menganggap kerja-kerja pemasangan A350 XWB adalah yang paling istimewa kerana kabin penumpang dipasang secara selari dengan bahagian fusage, sayap dan ekor pesawat.
Sayap pesawat A350-900 dibuat di kilang Airbus di Broughton, Wales Utara, United Kingdom, manakala bahagian pesawat di bahagian tengah dan hadapan dipasang di Saint Nazaire, Perancis.
Bahagian belakang badan pesawat dan ekor menegak pula dibuat Hamburg, Jerman dan bahagian ekor melintang di Getafe, Sepanyol.
Semua bahagian pesawat kemudiannya disatukan di kilang utama Airbus di Toulouse, Perancis.
A350 mengambil masa dua setengah bulan untuk disiapkan.
Syarikat pembuat pesawat Eropah itu juga mahu meningkatkan kapasiti pengeluaran A350 XWB kepada 10 unit sebulan menjelang akhir 2018 berbanding tujuh buah ketika ini.
Sehingga kini, Airbus menerima 858 tempahan bagi pesawat A350 XWB dan 122 buah sudah dihantar kepada syarikat-syarikat penerbangan.
#Airbus #bisnes #CEO #ekonomi #Ireland #KLIA #Langkawi #Lima #London #Los Angeles #Malaysia Airlines #operasi #penerbangan #penerbangan Malaysia #pesawat #peter bellew #United Kingdom
;