5 fakta prestasi dagangan Malaysia 2015

Malik Ridhwan
Februari 6, 2016 09:05 MYT
Malaysia mencatatkan kenaikan 1.2 peratus pada jumlah perdagangan luar iaitu RM1.466 trilion pada 2015. - Gambar hiasan/AFP
Malaysia secara amnya mencatatkan peningkatan positif dalam perdagangan luar bagi tahun 2015.
Dalam sidang media oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang diadakan Jumaat, beberapa kunci penting penilaian prestasi telah dibentangkan antaranya mengenai statistik import dan eksport, faktor cabaran, impak menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), serta tinjauan potensi e-perdagangan.
1. EKSPORT, IMPORT DAN LEBIHAN DAGANGAN MENINGKAT
Malaysia mencatatkan kenaikan 1.2 peratus pada jumlah perdagangan luar kepada RM1.466 trilion pada 2015.
Eksport naik 1.9 peratus kepada RM779.95 bilion, manakala import naik 0.4 peratus kepada RM685.65 bilion. Pada masa sama, lebihan dagangan bernilai RM94.29 bilion untuk tahun ke-18 berturut-turut dan ini merupakan peningkatan 14.3 peratus.
Ini disumbangkan oleh permintaan yang tinggi oleh tiga negara utama, China (RM23.09 bilion), ASEAN (RM12.38 bilion) dan Amerika Syarikat (RM12.22 bilion).
Sektor perkilangan menyumbang RM625.46 bilion kepada prestasi eksport negara.
2. TAHUN 2015 TAHUN YANG MENCABAR
Prestasi ini dilihat baik memandangkan 2015 merupakan tahun mencabar bagi ekonomi global dengan pertumbuhan perlahan di pasaran membangun manakala negara maju mencatatkan pertumbuhan sederhana.

"Penurunan harga komoditi, terutamanya minyak mentah, turun naik mata wang, kelembapan ekonomi China dan ketegangan geopolitik, semuanya mencetuskan keadaan tidak menentu yang memberi tekanan kepada ekonomi global.” DATUK SERI ONG KA CHUAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II

3. PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK (TPPA)
TPPA yang baru ditandatangani akan meningkatkan peluang dengan satu pasaran tunggal rentas sempadan yang mempunyai rakyat sebanyak 800 juta orang.
Jumlah dagangan Malaysia disasarkan melepasi RM2 trilion berikutan pemeteraian TPPA.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, faedah segera TPPA itu akan terbukti dengan kemasukan pelabur.

"Pemetraian TPPA akan merangsang sentimen dan mewujudkan keyakinan di kalangan pelabur." DATUK SERI ONG KA CHUAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II

4. USAHAWAN DIGESA MEMAKSIMUMKAN E-PERDAGANGAN
Usahawan, terutamanya belia, perlu menggunakan platform e-dagang untuk meningkatkan perniagaan termasuk menembusi pasaran baharu.
Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, e-dagang membantu memasarkan produk dan perkhidmatan dengan lebih pantas dalam pasaran global berbanding perniagaan konvensional.

"Pengembangan segmen e-dagang juga akan menyokong negara dalam mencapai sasaran sumbangan e-dagang sebanyak 10-15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh dua tahun akan datang.” DATUK SERI ONG KA CHUAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II

Ketika ini, e-dagang hanya menyumbang sebanyak 5.8 peratus kepada KDNK berbanding dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan China, masing-masing dengan 30 peratus dan 21 peratus.
5. APA PROSPEK 2016?
Meskipun kelembapan ekonomi yang dijangka berterusan, prestasi positif dijangkakan melihat kepada kestabilan nilai Ringgit Malaysia.
Eksport dijangka kekal menjadi pemacu utama ekonomi negara bergerak ke hadapan.
Ka Chuan juga berkata perdagangan Malaysia-ASEAN dijangka berkembang sejajar dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN dan menjadi penampan bagi Malaysia dalam mengharungi keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
#Datuk Seri Ong Ka Chuan #eksport #import #Matrade #perdagangan
;