4 kempen E-Bazar Selangor catat jualan terus RM144.7 juta - Amirudin

Bernama
Jun 23, 2021 21:08 MYT
Kata Amirudin, kerajaan negeri telah membuat pelaburan sebanyak RM7 juta untuk kempen tersebut yang disertai seramai 294,119 penjual termasuk 74,837 penjual baharu. - Gambar fail
SHAH ALAM: Empat kempen E-Bazar kelolaan kerajaan negeri Selangor berjaya mencatatkan jualan terus berjumlah RM144.7 juta serta mewujudkan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM2.95 bilion.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata empat kempen E-Bazar tersebut terdiri daripada E-Bazar Raya 2020 yang dianjurkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, disusuli dengan E-Bazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 ketika PKP 2.0 pada tahun ini dan E-Bazar Raya 2021.
Menurutnya, kerajaan negeri telah membuat pelaburan sebanyak RM7 juta untuk kempen tersebut yang disertai seramai 294,119 penjual termasuk 74,837 penjual baharu.
Beliau berkata bagi tempoh berbaki tahun ini, dua lagi kempen e-dagang telah dirancang untuk diadakan termasuk kempen jualan akhir tahun yang akan turut melibatkan penyedia platform e-dagang iaitu Shopee dan Lazada.
Pada sidang media tersebut, Amirudin turut melancarkan Sidec TV yang ditubuhkan bertujuan untuk memberi manfaat dan berkongsi ilmu pengetahuan kepada mereka yang ingin menceburi bidang e-dagang atau memulakan perniagaan dengan melayari laman web https://www.sidec.com.my/sidectv/.
--BERNAMA
#pelaburan #PKP #e-bazar #Shopee #Lazada #ripple effect #Selangor #Amirudin Shari
;