4.8 juta golongan bujang dapat BKM, RM350 untuk pendapatan di bawah RM2,500

Ridauddin Daud
Oktober 31, 2021 17:52 MYT
BKM antara intipati yang disebut dalam Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan seramai 4.8 juta individu bujang merupakan antara 9.6 juta rakyat Malaysia yang layak menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan dalam Bajet 2022 Jumaat lepas.
Menerusi satu kenyataan pada Ahad, MOF berkata golongan bujang dengan pendapatan di bawah RM2,500 akan menerima RM350.
Manakala, warga emas bujang atau tiada pasangan dengan pendapatan kurang daripada RM5,000 akan menerima RM600.
BACA: Ini 25 senarai manfaat diterima belia menerusi Bajet 2022
Selain itu, isi rumah berpendapatan dari RM2,500 hingga RM5,000 pula akan menerima RM400 bagi yang tiada anak, RM600 bagi isi rumah satu atau dua anak dan RM800 bagi isi rumah dengan tiga atau lebih daripada tiga orang anak.
Menurut kenyataan itu lagi, BKM telah ditambah baik supaya kumpulan yang benar-benar terkesan, diberi lebih tumpuan.
Bajet 2022 | Orang bujang juga dapat bantuan tunai - Tengku Zafrul
“Berdasarkan cadangan yang diterima dari rakyat melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat, pembaharuan ini termasuk:
(1) Bayaran sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan. Pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.
(2) Bagi ibu tunggal dalam menyara anak-anaknya; selain warga emas B40 yang kekurangan simpanan persaraan dan tiada sumber pendapatan tetap, Kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.
(3) Bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas. Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500,” menurut kenyataan tersebut.
BACA: Bajet 2022: Tengku Zafrul mohon maaf jika ada kekurangan, ikrar Keluarga Malaysia jadi keutamaan
Secara keseluruhannya, BKM pada tahun 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion.
Peruntukan tersebut lebih tinggi berbanding peruntukan RM7 bilion di bawah BPR pada tahun 2021 yang memberi manfaat kepada 8.6 juta penerima.
#BKM #Golongan bujang #bajet 2022 #RM350 #Kementerian Kewangan
;