4,200 syarikat seluruh dunia sertai Gulfood 2013

Astro Awani
Februari 26, 2013 20:48 MYT
Lebih 4,200 syarikat dari 110 negara seluruh dunia menyertai pesta makanan Gulfood 2013 yang bermula Isnin di Dubai.
Disifatkan yang terbesar di dunia, pesta yang berlangsung selama empat hari itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pemeritah Dubai, Sheikh Hamdan Bin Rashid Al-Maktoum.
Pada hari pertama sahaja, hampir 20,000 pengunjung mencuba pelbagai hidangan yang telah disediakan.
Mereka juga tidak ketinggalan menyaksikan demonstrasi masakan dan menyertai pelbagai pertandingan yang disediakan pihak penganjur.
“Apa yang saya ukirkan di sini ialah seorang wira bersejarah Filipina. Namanya Lapu-Lapu, salah seorang pemimpin yang menentang Sepanyol pada 1940an.
“Saya membuat coklat ini untuk menunjukkan sumbangannya pada negara,” kata seorang pengukir coklat.
Pakar masakan dari pelbagai negara turut dijemput untuk mengadili pertandingan masakan.
“Kami akan beri markah berdasarkan ketelitian mereka mengendalikan kerja mereka, dan samada mereka kreatif. Juga, tidak mungkin kek mereka dapat disiapkan dalam satu hari... jadi mungkin akan timbul masalah kebersihan. Oleh itu, kami juga akan memeriksa tempoh serta suhu rekaan mereka,” kata hakim pertandingan dan juga pakar masakan, Kenny Kong.
Pada masa sama, pengunjung dikehendaki membayar 250 dirham (RM210) sebelum mereka berpeluang menikmati pelbagai jenis hidangan bertaraf dunia.
Acara tahun ini menyaksikan penyertaan 1,462 pempamer baharu termasuk dari Brunei, Ecuador dan Lithuania.
Pesta tersebut akan berlangsung sehingga Khamis ini.
#Dubai #Gulfood 2013 #Pameran makanan
;