360,000 PMKS mendapat manfaat jaminan kredit CGC dalam tempoh 50 tahun
Rahimah Abdullah
Julai 6, 2022 08:25 MYT
Julai 6, 2022 08:25 MYT
KUALA LUMPUR : Kira-kira 36 peratus atau 360,000 daripada lebih sejuta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaftar mendapat manfaat dari jaminan kredit Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) sejak tahun 1972 hingga Mei lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, ia melibatkan pengeluaran 515,000 jaminan kredit bernilai RM88.7 bilion kepada bank-bank di Malaysia dalam tempoh 50 tahun berkenaan.
"Bagi saya, angka 360,000 ini adalah sangat penting kerana ia ialah satu pertiga dari sejuta PMKS yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kesimpulannya, 36 peratus PMKS di Malaysia pernah mendapatkan manfaat dari jaminan kredit dari CGC keluarkan sejak 50 tahun ini," katanya semasa menjadi tetamu program Agenda AWANI yang disiarkan pada Selasa.
Malah, ketika bermulanya pandemik COVID-19, CGC telah mengeluarkan lebih RM11 bilion jaminan kredit dan pembiayaan kepada PMKS.
"Ini kerana ada keperluan pada ketika itu untuk membantu PMKS ini. PMKS adalah tunjang ekonomi negara dan lebih daripada 97 peratus perniagaan yang berdaftar dengan SSM adalah PMKS dan mereka menyumbang lebih dari 38 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Mereka juga memberi peluang pekerjaan kepada 48 peratus tenaga kerja di Malaysia,"ujarnya.
Mohd Zamree berkata, CGC mempunyai sasaran untuk menentukan jumlah PMKS yang sudah boleh berdiri sendiri dan tidak lagi memerlukan jaminan kredit.
Beliau memberi contoh perniagaan Kicap Cap Tamin dan syarikat iPay88 yang sudah boleh berdikari tanpa jaminan kredit CGC dan bank-bank sudah selesa dengan rekod PMKS berkenaan.
"Semasa Kicap Tamin mahu mengembangkan perniagaan mereka, CGC memberikan jaminan kredit kepada bank yang meluluskan pembiayaan tersebut. Setelah rekod mereka bertambah baik mereka tidak lagi memerlukan jaminan kredit kami.
"iPay88 adalah bekas pelanggan kami yang telah berjaya. Pada mulanya mereka mendapatkan jaminan kredit melalui sebuah bank yang bersetuju memberikan pembiayaan. Kini iPay88 adalah antara online payment gateway yang terkemuka di Malaysia," katanya lagi.
Justeru katanya, CGC berjaya mencapai matlamat untuk mempromosi pertumbuhan dan pembangunan PMKS yang berdaya saing serta dinamik.