300 peserta ambil bahagian dalam pameran perabot
Bernama
Mac 15, 2013 11:07 MYT
Mac 15, 2013 11:07 MYT
Kira-kira 300 peserta akan mempamerkan perabot masing-masing pada Pameran Import-Eksport Perabot dan Dalaman Asia Tenggara, yang akan diadakan di sini September ini.
Pengurus Besar (Perabot dan Dalaman) United Business Media Malaysia Sdn Bhd Karen Goi berkata mereka menjangka penyertaan pempamer dari negara-negara Asia Tenggara dan Eropah.
"Ini merupakan peluang terbaik bagi pengeluar perabot dan peralatan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing di salah satu rantau yang berkembang pesat di dunia," katanya kepada Bernama.
Pameran empat hari dari 13 Sept di Pusat Dagangan Dunia Putra itu akan menjadi satu gerbang bagi para pengeluar perabot dan peralatan dari seluruh dunia untuk memperkenalkan produk masing-masing kepada para pereka bentuk, arkitek dan mendapatkan bekalan dari pihak profesional yang bertanggung jawab bagi projek kontrak.
Perabot dan peralatan yang akan dipamerkan akan turut memenuhi keperluan hotel, restoran dan projek kediaman dan komersil yang baharu.
Pameran itu, yang akan mempamerkan jenama antarabangsa dari peringkat pertengahan hingga mewah, dijangka menarik kira-kira 20,000 pembeli dari seluruh dunia, yang kebanyakannya dari negara-negara yang mempunyai industri reka bentuk seperti Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah.
Goi berkata pameran itu akan menyediakan platform bagi lebih banyak produk berjenama dibawa masuk ke rantau ini.
"Apabila para pempamer itu mengambil bahagian di dalam pameran itu, mereka tidak sahaja melakukan tempahan malah juga mencari rakan usaha sama dari kalangan pengeluar tempatan kita bagi mengeluarkan perabot dan peralatan yang boleh dijual di pasaran Asean," katanya.
Katanya kawasan pameran itu berkeluasan 45,000 meter persegi, akan termasuk pameran jenama antarabangsa seperti bagi perabot kegunaan di kediaman dan pejabat serta reka bentuk dalaman.
"Hasil kemakmuran Asean, yang mempunyai bilangan penduduk yang besar dan berada, pameran itu merupakan masa yang sesuai bagi membuat simpanan perabot untuk musim perayaan Krismas dan Tahun baru China," katanya.
"Bagi memastikan kejayaan pameran sulung itu, penganjur mempromosikan secara agresif acara itu di 150 negara, yang menggunakan lebih 10 bahasa untuk menarik bilangan pembeli yang maksimum," katanya.
#Karen Goi
#Pameran Import-Eksport Perabot dan Dalaman Asia Tenggara
#perabot
#United Business Media Malaysia Sdn Bhd