30 gerabak baharu tren tangani kesesakan di Stesen LRT

Rahimah Abdullah
Julai 20, 2016 17:25 MYT
Prasarana menyifatkan 30 gerabak tren LRT baharu yang mula beroperasi berjaya mengatasi masalah kesesakan penumpang terutama pada waktu puncak. -Gambar fail
Prasarana menyifatkan 30 gerabak tren LRT baharu yang mula beroperasi berjaya mengatasi masalah kesesakan penumpang terutama pada waktu puncak
Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategiknya, Lim Jin Aun pada masa sama berkata, langkah itu bagi memastikan operasi perkhidmatan pengangkutan awam itu berjalan seperti yang dirancang.
"Sejak laluan Sri Petaling dimulakan, kami telah melancarkan 30 buah tren, dan kami gembira sebab penumpang dapat sesuaikan diri.
"Malah, penumpang juga dapat ke destinasi masing-masing pada jangka masa yang dijangkakan," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Selain itu, Prasarana turut mengambil langkah segera dengan memberikan perkembangan semasa kepada penumpang melalui saluran media sosial seperti Facebook dan Twitter.
Langkah itu sekaligus membolehkan penumpang terutama mereka yang menuju ke tempat kerja merancang perjalanan dengan baik.
"Sejak semalam kami telah memantau dan mengambil gambar secara iaitu live update, kami cuba memberikan maklumat terkini pada pelanggan kami melalui Facebook, dan Twitter di stesen LRT sama ada ia lapang atau stesen itu sesak agar mereka boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih bijak," tambahnya.
Justeru, beliau berpuas hati dengan operasi ke-4 bagi penukaran tren di Stesen Chan Sow Lin dan berharap pengguna terus memberikan maklum balas serta pandangan untuk penambahbaikan perkhidmatan LRT.
"Kami terima pandangan yang bernas dan positif daripada pelanggan kami berkaitan dengan live update yang diberikan sejak semalam,"ujarnya.
#Lim Jin Aun #perkhidmatan LRT #prasarana #tren baharu
;