3 fakta yang akan mendorong peningkatan pembelian hartanah 2016

Pritha Manivannan
April 19, 2016 17:10 MYT
Pemulihan sentimen secara langsung akan meningkatkan pembelian hartanah, kata Sheldon Fernandez - Gambar hiasan/Bernama
Sentimen pembelian pasaran hartanah di Malaysia melihat peningkatan 3 peratus tahun ini dan dijangka semakin pulih.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata pemulihan sentimen ini secara langsung akan meningkatkan pembelian hartanah.
Menurut Laporan Tinjauan Sentimen Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru, sentimen pembelian di Malaysia tahun ini meningkat kepada 28 peratus, berbanding 25 peratus yang dicatatkan tahun lepas.
Berikut adalah 3 fakta yang akan mendorong peningkatan pembelian hartanah tahun ini:
1. Peningkatan harga hartanah secara sederhana
Peningkatan harga hartanah secara sederhana tahun lepas telah meningkatkan sentimen pembeli.
"Jika anda lihat statistik, sejak 2013 harga hartanah meningkat 15 peratus setiap tahun. Namun pada tahun lepas, ia hanya meningkat 5.9 peratus dan ini merupakan peningkatan sederhana," kata Sheldon.
Tambahnya, ini merupakan peluang yang baik untuk membeli rumah pada harga yang lebih murah.
2. Pengguna lebih bijak
Menurut Sheldon, pengguna kini lebih bijak membuat keputusan membeli perumahan di kawasan pinggir bandar.
"Pembeli lebih memahami pasaran hartanah. Dengan pembangunan MRT, pembeli mempunyai pilihan untuk tinggal di lokasi yang lebih jauh dan dapat menikmati manfaat harga hartanah yang lebih murah dan lebih besar," kata Sheldon.
3. Promosi oleh pemaju
Tambah Sheldon, usaha agresif pemaju hartanah untuk memberi promosi yang menarik juga meningkatkan sentimen pembeli di Malaysia.
Antara promosi pemaju hartanah termasuklah menawarkan perkakasan rumah percuma dan rumah yang dilengkapi perabot.
#Laporan Tinjauan Sentimen Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru #Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia #Sheldon Fernandez
;