3 fakta pasaran saham pasca cuti Tahun Baru Cina
Pritha Manivannan
Februari 15, 2016 14:43 MYT
Februari 15, 2016 14:43 MYT
Pasaran Asia, Amerika dan Eropah menyaksikan kemerosotan sejak kebelakangan ini.
Beberapa faktor mempengaruhi dagangan pasaran saham antaranya kelemahan harga minyak, pertumbuhan perlahan China, saham perbankan Eropah yang lemah dan kemerosotan ekonomi Jepun.
Berikut adalah tiga pengaruh pasaran untuk 2016 menurut Ketua Ekonomi IQI Groups, Shan Saeed.
1. Dagangan di pasaran saham global dijangka terus menentu tahun ini
Menurut Shan, indeks utama pasaran saham global mungkin menyusut 40-50 peratus menjelang akhir 2016.
Tambahnya, ketidaktentuan yang disaksikan dalam pasaran ketika ini akan berterusan di serata dunia.
"Tahun 2016 akan lebih mencabar berbanding 2015.
"Ketidaktentuan pasaran global akan berterusan, bukan sahaja di Asia tetapi juga di Amerika Syarikat dan Eropah," kata Shan.
2. Nilai Yuan dijangka menyusut 10% hingga 15% 2016.
Shan berkata, peningkatan nilai matawang Yuan kepada 0.89 peratus pada pagi Isnin hanya bersifat sementara.
Beliau menjangka kerajaan China dan bank pusat China menggalakkan penyusutan nilai Yuan untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6.5%.
"Saya rasa kerajaan China harus menyemak semula strategi dan tidak memberikan fokus yang berlebihan terhadap KDNK. Mereka seharusnya memberi fokus kepada pertumbuhan KDNK dipacu inflasi.
"KDNK dipacu inflasi boleh membantu ekonomi China untuk memastikan momentum pertumbuhan konsisten, perbelanjaan pengguna berterusan dan membantu kemasukkan pelaburan secara konsisten," kata Shan.
3. Malaysia dijangka mencapai sasaran pertumbuhan KDNK 2016
Menurut Shan, Malaysia dijangka mencapai sasaran pertumbuhan KDNK 5-5.2 peratus.
Shan berkata kerajaan berada di landasan yang betul dan ini akan membantu negara mencapai sasaran tersebut.
Beliau turut yakin Malaysia akan mencapai sasaran KDNK menjelang akhir 2016.
"Jika harga minyak meningkat, ia akan membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia secara lancar."