22.3 juta orang lawat Thailand pada 2012
Bernama
Januari 28, 2013 18:38 MYT
Januari 28, 2013 18:38 MYT
Thailand buat pertama kalinya memecah rekod apabila mencatat kedatangan pelancong sebanyak 22.3 juta orang tahun lepas, iaitu peningkatan 15.9 peratus berbanding 2011.
Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) Suraphon Svetasreni berkata peningkatan itu hasil kerjasama dan kreativiti industri pelancongan Thailand, secara keseluruhannya.
Katanya usaha juga dilakukan bagi memastikan industri pelancongan kekal sebagai industri utama untuk mewujudkan pekerjaan, pengagihan pendapatan negara dan sumbangan kepada kebudayaan, warisan dan pemeliharaan alam sekitar.
"Penyumbang utama kepada hasil ini berikutan keamanan dan kestabilan di peringkat global, serantau dan setempat," katanya dalam satu kenyataan.
Pelawat dari Asia Timur seramai 12.5 juta, Eropah (5.6 juta), Amerika Syarikat (satu juta), Asia Selatan (1.2 juta), Oceania (satu juta), Timur Tengah (604,659) dan Afrika (161,853).
Malaysia merupakan sumber kedua utama ketibaan pelancong dengan 2.5 juta di belakang China dengan 2.7 juta pelancong.
"TAT yakin sekiranya situasi global, serantau dan tempatan kekal stabil, Thailand akan menyaksikan kedatangan pelancong seramai 24.5 juta, menjana pendapatan pelancongan dianggarkan bernilai 1.1 bilion bath (kira-kira RM114 bilion), katanya.