2025 bukan tahun yang mudah - Khazanah
Nabilah Khaleeda
Februari 5, 2025 17:40 MYT
Februari 5, 2025 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: Dana kekayaan berdaulat Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjangkakan tahun 2025 bakal menjadi tahun mencabar bagi ekonomi global, dengan ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran baharu yang berpotensi meningkatkan tekanan inflasi serta ketegangan geopolitik.
Ringkasan AI
- Khazanah Nasional Berhad menjangkakan tahun 2025 akan menjadi tahun mencabar bagi ekonomi global, dengan ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat yang berpotensi meningkatkan tekanan inflasi dan ketegangan geopolitik.
- Khazanah akan menumpukan kepada pelaburan jangka panjang dan inovasi untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu, serta memastikan daya tahan ekonomi Malaysia.
- Walaupun berdepan cabaran global, Malaysia berada dalam kedudukan seimbang dari segi perdagangan antarabangsa, dengan sokongan pelaburan langsung asing (FDI) dan penggunaan domestik yang stabil.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir menggariskan strategi untuk berdepan persekitaran yang lebih tidak menentu dengan menumpukan kepada pelaburan jangka panjang dan inovasi.
"Dasar AS memberi kesan besar kepada ekonomi dunia. Dengan kembalinya Donald Trump, kita boleh menjangka dasar berkaitan menekankan kos tenaga yang rendah, cukai rendah, serta keutamaan kepada perniagaan domestik yang cenderung mencetuskan inflasi.
"Ini bermakna kadar faedah mungkin kekal tinggi lebih lama dan nilai dolar AS lebih kukuh, memberi kesan kepada mata wang lain," jelasnya.
Bagaimanapun menurut beliau, di sebalik cabaran ini, Malaysia masih berada dalam kedudukan yang agak seimbang dari segi perdagangan antarabangsa.
"China menyumbang 14 peratus daripada eksport kita, manakala AS sebanyak 12 peratus. Walaupun situasi global tidak mudah, terdapat faktor yang mengukuhkan daya tahan ekonomi domestik, termasuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan tempatan yang semakin kukuh," katanya semasa taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2025 di sini, pada Rabu.
Selain itu, penggunaan domestik yang masih stabil memberikan sedikit kelebihan kepada ekonomi Malaysia.
"Apa yang perlu kita lakukan adalah menumpukan kepada jangka panjang, meningkatkan produktiviti dan inovasi agar kita dapat memanfaatkan perubahan ini.
"Sebagai negara kecil di tengah-tengah persaingan dua kuasa besar, kita perlu bermain secara bijak seperti kancil," katanya.
Dengan ketidaktentuan global yang berterusan, Khazanah melihat kepentingan untuk memastikan daya tahan ekonomi negara dengan strategi pelaburan yang mampan dan berdaya saing dalam tempoh jangka panjang.
Khazanah sebelum ini mengumumkan mencatat keuntungan operasi sebanyak RM5.1 bilion bagi tahun kewangan 2024.